
SARATOK: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok hari ini telah mengesahkan Orang Banduan Berlesen (OBB) yang dilaporkan telah menghilangkan diri sejak 8 Jun lalu, berjaya ditemui semula pada 28 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah (KPD) Saratok, Deputi Superintendan Polis (DSP) Mathew Maggie berkata individu dikenali sebagai Mohamad Hamizul Mohd Kiprawi, 30, yang berdaftar di Penjara Pusat Sri Aman itu telah menghilangkan diri daripada jagaan sah di bawah seliaan Pejabat Parol dan Perkhidmatan Komuniti Daerah Kuching.
“Dimaklumkan bahawa individu OBB Mohamad Hamizul Mohd Kiprawi yang menjalani perintah Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) mulai 26 Mei sehingga 15 Julai ini yang ditempatkan di alamat No. 3/451, Jalan Haji Puteh Ellias, Saratok kini telah berjaya dijumpai dan ditangkap semula bersabit laporan tangkapan Saratok/000965/2025 bertarikh 28 Jun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mathew berkata pihak IPD Saratok ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyalurkan maklumat dan memberikan kerjasama dalam usaha menjejaki OBB berkenaan.
“Kerjasama anda amat dihargai dan membantu melancarkan proses pemantauan serta keselamatan komuniti.
“Pihak IPD Saratok mengucapkan terima kasih kerana memberi komitmen yang positif terhadap pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” ujarnya.
Oleh Adi Safarman