
KUALA LUMPUR: Selepas lebih satu dekad tidak beraksi di pentas teater berskala besar, pelakon Johan As’ari kembali ke gelanggang pementasan, namun kali ini dengan versi berbeza dan mencabar, apabila menuntutnya menyanyi secara langsung dalam Teater Muzikal Uda dan Dara.
Mengakui cabaran dihadapinya itu mengundang perasaan gemuruh meskipun sudah 15 tahun berkecimpung dalam industri seni, peluang itu tidak mahu disia-siakan pelakon kelahiran Bukit Mertajam ini.
Johan, 39, berkata karya klasik nukilan Sasterawan Negara Allahyarham Datuk Usman Awang itu menjadi pembakar semangat untuknya kembali ke dunia teater, selain sebagai ruang mengasah bakat dalam cabang seni lain.
Kerana itu, Johan atau nama sebenarnya Johan Ariff As’ari yang mula dikenali menerusi watak Botak dalam drama bersiri Juvana ini, sanggup bahkan tidak kisah untuk menolak semua tawaran kerja lain sejak sebulan lepas demi memberi sepenuh tumpuan kepada sesi latihan harian teater berkenaan.
“Saya rindu nak melakukan pementasan teater. Kali terakhir saya beraksi di pentas teater berskala besar ialah menerusi Bahayanya Wanita di Panggung Sari, Istana Budaya pada 2014. Saya anggap menyanyi sebagai satu cabaran.
“Saya tak nafikan, saya minum berbotol-botol air untuk hilangkan rasa gemuruh, maklumlah sekian lama tak melakukan pementasan ditambah pula kena menyanyi. Insya-Allah, saya akan cuba perbaikinya selepas ini,” katanya kepada pemberita selepas pratonton media teater tersebut di sini, malam tadi.
Merakamkan penghargaan kepada seluruh tenaga pengajar dan barisan pelakon lain yang banyak membantu dan membimbingnya sepanjang latihan, Johan berkata mereka bukan sahaja mengajarnya dari sudut vokal tetapi juga teknik menari, sembah silat dan posisi sewajarnya ketika di atas pentas. .
Dalam pada itu, Johan yang sebelum ini pernah menyatakan tidak mahu melakonkan babak bersentuhan khususnya selepas pulang dari umrah pada 2013, menjelaskan adegan itu dalam pementasan kali ini hanyalah gambaran fantasi dan dilakukan secara berhemah mengikut tuntutan skrip.
“(Babak) itu adalah fantasi dan tidaklah berlebihan sekadar untuk menyampaikan apa yang perlu disampaikan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Muzik Teater Muzikal Uda dan Dara Nik Nizam Jaafar berkata sejumlah 14 lagu baharu dicipta khas oleh pemuzik Istana Budaya berbakat besar antaranya Syafiq Al Gambus, Ude Sitar dan Izzwan dengan mengadaptasi bahasa puitis sepenuhnya daripada karya legenda Sasterawan Negara itu.
Antara lagu itu ialah Dara, Senja, Menanti, Mengemping, Berbalas Senda, Uda dan Dara, Ke Kota, Aku Kaya, Rampas, Pulang, Orang Alang Bakhil dan Uda dan Dara II, yang dihasilkan dalam tempoh sebulan serta dibangunkan berpandukan kepada karakter serta suasana penceritaan teater muzikal itu.
“Semua melodi dibentuk mengikut karakter. Saya perlu pastikan setiap melodi tepat dengan babak, suasana dan pergerakan cerita. Kalau watak itu ganas atau sombong contohnya watak Alang Bakhil, maka penyampaian mereka juga perlu mengikut sifat itu.
“Cuma cabarannya adalah untuk memastikan setiap pelakon pandai menyesuaikan diri dengan lagu berkenaan kerana kebanyakan daripada mereka bukan penyanyi profesional,” katanya yang juga Ahli Muzik Kanan Orkestra Tradisional Malaysia.
Dipentaskan bermula hari ini di The Playhouse Theatre@ The Campus Ampang di sini, teater muzikal arahan Nik Muhammad Faiszulikhwan dan Dr Marlenny Deenerwan itu akan berlangsung hingga 23 Nov, dengan barisan pelakon terdiri daripada Zera Hariz (Dara), Jay Iswazir (Alang Bakhil), Farah Ahmad (Mak Dara), Amerul Affendi (Utih), Azaman Hassan (Pak Long), Sara Sulaiman (Mak Long).
Teater muzikal itu yang turut disokong barisan Artistana Istana Budaya, merupakan naskhah klasik yang mengangkat kisah cinta terhalang antara Uda, pemuda kampung dan Dara, gadis bangsawan.
Perbezaan darjat serta penindasan tokoh kaya dan tamak Alang Bakhil, akhirnya membawa kepada perjuangan tragis yang meragut nyawa Uda, sekali gus meninggalkan Dara menanggung kesedihan dan penyesalan.- Bernama