
KUALA LUMPUR: Pelumba trek wanita negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri kini memberi tumpuan penuh kepada program peningkatan jisim otot dengan sasaran mencapai berat badan 54 kilogram (kg) untuk bersaing dengan pelumba bertubuh sasa di pentas antarabangsa dalam beberapa kejohanan utama tahun ini.
Pelumba berusia 21 tahun itu berkata pelan khas digerakkan sejurus selepas sambutan Aidilfitri melibatkan jadual pemakanan yang ketat, pengambilan protein khas dan sesi latihan bebanan intensif.
“Sekarang berat saya ialah 52 kg … saya dah mula ikut pemakanan khusus, dapat jadual makan dan buat latihan gim empat kali seminggu dengan fokus pada kaki.
“Selepas ini ada kejohanan kebangsaan di Johor, kemudian terus berkampung di Jerman selama sebulan. Sasaran besar saya ialah kejohanan dunia di Chile pada Oktober nanti,” katanya kepada pemberita selepas menerima dua anugerah kecemerlangan sukan di Universiti Malaya (UM), di sini malam tadi.
Pada majlis itu, beliau menerima Anugerah Olahragawati Pelajar (Lencana Biru) dan membawa pulang RM1,500.
Selain itu, Nurul Izzah Izzati memperoleh satu lagi anugerah khas atas kejayaan memecahkan rekod kebangsaan pada Sukan Olimpik Paris, serta rekod Asia dan kebangsaan pada Kejohanan Basikal Trek Asia yang melayakkan beliau menerima insentif sebanyak RM10,000.
Dalam pada itu, penuntut semester enam Fakulti Sukan dan Sains Eksesais UM itu mengakui perubahan gaya hidup ke arah rutin penuh disiplin bukanlah mudah, namun kini semakin serasi dan perlu konsisten dengan pelan pemakanan dan latihan yang diberikan.
Sementara itu, atlet olahraga negara dalam acara 800 meter, Wan Muhammad Fazri Wan Zahari turut diraikan apabila menerima Anugerah Olahragawan Pelajar (Lencana Biru) yang menjadi pembakar semangat menjelang kemunculan pada beberapa kejohanan utama tahun ini.
“Kejohanan terdekat saya ialah Kejohanan Olahraga Asia di Korea Selatan hujung bulan ini diikuti Sukan Universiti Dunia pada Julai dan Sukan SEA Thailand 2025.
“Sasaran saya ialah membaiki pencapaian pada Sukan SEA Kemboja daripada gangsa kepada perak atau emas. Catatan terbaik saya ketika ini ialah 1 minit 50.20 saat yang direkodkan semasa Terbuka Malaysia 2024,” kata pelajar akhir Fakulti Sukan dan Sains Eksesais UM itu. — Bernama