
LABUAN: Jerung spesies nurse shark sepanjang satu meter, dipercayai berusia beberapa minggu atau bulan, dikesan di perairan di sekitar Pulau Rusukan Kecil.
Penampakan spesies yang jarang ditemukan itu dibuat oleh ahli Kelab Menyelam Labuan Tan Zhi Shan ketika menyelam rekreasi di Taman Laut Labuan pada Ahad lepas.
Presiden Kelab Menyelam Labuan Teoh Ming Woei berkata penemuan itu ialah petanda positif bagi ekosistem marin di pulau ini.
“Penemuan anak jerung ini akan memperkaya kehidupan marin di perairan Labuan dan baik untuk aktiviti menyelam rekreasi kerana penemuan ini menambah kepelbagaian biodiversiti yang boleh dihargai penyelam di sini.
“Penemuan terkini jerung jenis nurse shark di perairan Labuan ini mencerminkan peningkatan biodiversiti ekosistem marin dan menunjukkan bahawa Labuan terus menjadi destinasi selaman yang selamat dan menyeronokkan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Selain nurse shark, ahli kelab itu turut dilaporkan terlihat jerung sirip hitam dan jerung jenis lizard shark di sekitar Pulau Kuraman dan Pulau Rusukan Kecil.
Teoh berkata spesies berkenaan tidak berbahaya kepada manusia, malah menambahkan lagi pengalaman menyelam di Labuan.
“Nurse shark (Ginglymostoma cirratum), spesies jerung yang bergerak perlahan dan mendiami dasar laut, secara amnya tidak berbahaya kepada manusia, tetapi dianggap penting untuk biodiversiti marin,” katanya.
Beliau berkata kehadiran spesimen muda ini mungkin menunjukkan bahawa perairan Labuan menyediakan habitat dan kawasan pembiakan yang sesuai untuk hidupan laut sekali gus menekankan kepentingan melindungi terumbu karang dan ekosistem di sekitarnya.
Pulau Rusukan Kecil, satu daripada pulau taman laut popular di Labuan, ialah sebahagian daripada Taman Laut Labuan yang turut merangkumi Pulau Kuraman dan Pulau Rusukan Besar.
Pulau ini terkenal dengan biodiversiti marin yang kaya, menarik penyelam dan pelancong. Pulau Rusukan Kecil turut dipertimbangkan sebagai tapak pembangunan resort pelancongan baharu yang akan meningkatkan tarikan ekopelancongan di pulau ini.
Teoh berkata penemuan spesies jerung berkenaan dijangka meningkatkan lagi kesedaran terhadap keperluan pelancongan marin yang lestari dan usaha pemuliharaan di perairan Labuan. – Bernama