SAKSI…Dato Sri Fatimah Abdullah menyaksikan penyerahan tugas pada Majlis Penyerahan Nota Serah Tugas Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) oleh Datu Felicia Tan Ya Hua kepada Nur Alina Abdullah @ Colliner Gohe sebagai Setiausaha Tetap KPWK yang baharu. Foto KPWK
KUCHING: Nur Alina Abdullah @ Colliner Gohe dilantik sebagai Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) yang baharu.
Nur Alina yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Setiausaha Tetap di kementerian sama, menggantikan Datu Felicia Tan Ya Hua yang dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Majlis Penyerahan Nota Serah Tugas Setiausaha Tetap KPWK hari ini disaksikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Nur Alina memulakan perkhidmatan awam pada 1 Ogos 1994 dan mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan awam negeri sebelum menyertai KPWK pada 2023 sebagai Timbalan Setiausaha Tetap.
Majlis tersebut turut menyaksikan pelantikan beberapa pegawai kanan baharu KPWK, termasuk Kathereen Lalai Eddie Saga sebagai Timbalan Setiausaha Tetap serta Rohana Mohamad Ali sebagai Ketua Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik.
Datu Felicia pula memulakan perkhidmatan awam pada 3 Februari 1993 di Jabatan Ketua Menteri dan telah berkhidmat selama 33 tahun dalam perkhidmatan awam negeri.
Beliau dilantik sebagai Setiausaha Tetap KPWK pada 2024 sebelum dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) berkuat kuasa 1 Januari 2026.

Sementara itu, Fatimah berkata peralihan tanggungjawab dan pelantikan baharu ini diharap dapat memperkukuh keupayaan KPWK dalam melaksanakan peranan dan fungsinya secara lebih berkesan demi kesejahteraan rakyat Sarawak.
Katanya, perubahan itu menandakan peralihan tanggungjawab pentadbiran sekali gus memperkukuh kesinambungan kepimpinan kementerian berkenaan.
“Ia juga mencerminkan komitmen KPWK terhadap amalan tadbir urus yang tersusun, profesional dan berintegriti selaras dengan usaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Majlis serah tugas ini bukan sekadar pertukaran jawatan, tetapi merupakan kesinambungan kepimpinan yang penting bagi memastikan hala tuju kementerian terus kukuh dan konsisten,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Datu Felicia atas dedikasi serta sumbangan besar beliau sepanjang menerajui pentadbiran KPWK.
“Kepimpinan dan pengalaman Datu Felicia telah banyak memperkukuh tadbir urus kementerian ini. Sumbangan beliau amat signifikan dalam memastikan dasar dan program KPWK dilaksanakan secara berkesan,” katanya.
Dalam pada itu, Fatimah menyatakan keyakinan terhadap pelantikan Nur Alina sebagai Setiausaha Tetap KPWK yang baharu.
“Saya yakin kepimpinan baharu ini mampu meneruskan kesinambungan kecemerlangan KPWK serta membawa kementerian ke tahap yang lebih progresif dan berkesan dalam memenuhi keperluan wanita, kanak-kanak dan komuniti di Sarawak,” katanya.
Mengulas hala tuju kementerian, Fatimah menegaskan bahawa KPWK akan terus memberi tumpuan kepada 13 isu sosial utama yang menjadi keutamaan kerajaan negeri.
“Kita tidak boleh alpa. Tiga belas isu sosial yang telah dikenal pasti akan terus menjadi perjuangan KPWK, khususnya menjelang 2026 dengan penekanan kepada kesejahteraan komuniti,” katanya.
Menurut beliau, agenda kesejahteraan komuniti akan dilaksanakan melalui pengukuhan peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai sistem sokongan kepada kumpulan rentan.
“JKM akan terus diperkasakan sebagai sistem sokongan kepada golongan rentan termasuk keluarga berisiko, warga emas, orang kurang upaya serta mereka yang memerlukan perlindungan sosial,” jelasnya.
Beliau turut menekankan kepentingan pelaburan dalam pembangunan awal kanak-kanak, termasuk kanak-kanak berkeperluan khas.
“Pembangunan awal kanak-kanak, termasuk kanak-kanak berkeperluan khas, merupakan asas kepada kesejahteraan masyarakat jangka panjang. Ini adalah komitmen berterusan kerajaan negeri untuk memastikan tiada golongan yang tercicir,” katanya.
Oleh Norman B