Nuba Laya adalah sejenis makanan tradisi yang cukup popular dalam kalangan masyarakat Kelabit namun kini makanan tersebut turut dinikmati kaum-kaum lain.
Nasi tersebut bukan sahaja di makan dalam kalangan ahli keluarga sahaja malah di bawa jikanya ada keramaian atau pesta tertentu terutama bagi meraikan hari jadi atau keramaian yang berkonsepkan keagamaan.
Tidak akan lengkap tanpa Nuba Laya kerana nasi ini merupakan menu pembuka selera bagi sesetengah orang.
Menurut Puan Lingging, penyediaan makanan ini sebaik dimasak perlu dibungkus di dalam sejenis daun yang mereka panggil daun ‘irik’ yang mana ‘Nuba Laya’ merupakan lauk pauk masyarakat Kelabit.
Menurut Puang Lingging lagi, 58, anak jati dari Bario dan kini menetap di Kampung Pemindahan Marudi, cara pembuatannya hampir sama dengan memasak nasi dari beras biasa atau beras berkualiti tinggi.
Bagi keluarga Puan Lingging untuk menyediakan masakan ‘Nuba Laya’ mereka lebih suka menggunakan dapur kayu kerana masakannya lebih sedap dan enak berbanding dengan masakan menggunakan periuk elektrik.
Masakan ini tidak memerlukan tempoh yang lama dan hanya mengambil masa kira-kira 30 minit, kata Puan Lingging.
Katanya nasi yang sudah masak itu dilenyekkan dengan menggunakan perkakas dapur atau pekakas yang sesuai dan sesudah hancur dan masak sepenuhnya barulah digumpal-gumpalkan di dalam bungkusan daun.
Jelas Lingging ‘Nuba Laya’ sudah menjadi sebahagian daripada menu tradisi masyarakat mereka dan merupakan lauk pauk yang sering dibawa untuk bekalan ke huma atau di ke tempat-tempat lain sebagai bekalan.
Sesuai untuk dimakan dengan apa sahaja lebih-lebih lagi dinikmati bersama makanan yang lain seperti daging dan ikan salai.
Bagi Puan Lingging mereka menyediakan ‘Nuba Laya’ apabila diperlukan atau jika ingin memakannya dan bertukar selera.
“Lebih enak lagi ‘Nuba Laya’ ini jika dimakan dengan ‘Kikid’ iaitu sayur campur beras, sardin dalam tin dan lebih enak juga dimakan dengan umai, sejenis makanan tradisi kaum Melanau,” jelas Lingging.
Malah ‘Nuba Laya’ bertambah sedap jika dimasak dengan ‘Kerid Paring’ iaitu sayur ensabi yang telah dijemur atau yang telah dikeringkan.
Dengan kaedah tradisional iaitu menggunakan kayu api, menurut Lingging masakan ‘Nuba Laya’ boleh bertahan lama walaupun tidak disimpan dalam peti sejuk.
Oleh Jiku Juguong