
KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) meneruskan usaha memperkasa pembelajaran sepanjang hayat dengan menawarkan sebanyak 98 kursus percuma sempena sambutan Minggu Latihan Kebangsaan (National Training Week – NTW) 2025.
Naib Canselor Unimas, Profesor Dr Ahmad Hata Rasid berkata inisiatif tahun ini turut dibuka kepada peserta dari negara-negara ASEAN, sekali gus menjadikan Unimas antara institusi terawal yang memperluaskan capaian program latihan secara serantau dalam format terbuka dan percuma.
“Program ini bukan hanya menyasarkan golongan bekerja, malah terbuka kepada segenap lapisan masyarakat termasuk pelajar sekolah, golongan belia, pencari kerja malah warga emas.
“Kita percaya ilmu dan kemahiran tidak seharusnya terhad kepada bilik kuliah sahaja. Melalui NTW ini, kita mahu bawa peluang pembelajaran ke tengah masyarakat dari peringkat tadika hingga ke warga emas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Rakan Kongsi Berimpak Tinggi Sempena NTW 2025, di Unimas hari ini.

Tambah beliau, Unimas mula menyertai NTW sejak tahun 2023 dengan 35 kursus, meningkat kepada 55 pada tahun lalu dan kini 98 kursus disediakan melibatkan pelbagai bidang termasuk teknologi digital, pengurusan, kreativiti dan latihan vokasional.
“Tawaran kursus ini diberikan secara percuma untuk tempoh satu minggu selaras dengan visi pendidikan terbuka dan fleksibel yang cuba diterapkan Unimas kepada masyarakat umum serta komuniti serantau.
“Hasrat kita ialah memperluaskan ruang kepada mereka yang ingin menambah ilmu sama ada untuk meningkatkan kemahiran kerja atau sebagai nilai tambah peribadi. Ini bukan hanya soal akademik, tetapi soal keupayaan hidup,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Wilayah Sarawak HRD Corp, Tuty Bujang menegaskan bahawa NTW menyasarkan penyertaan daripada seluruh peringkat umur.
“Matlamat utama NTW ialah memastikan tiada siapa yang tertinggal dalam agenda pembelajaran sepanjang hayat. Semua orang boleh terlibat, daripada peringkat tadika hinggalah warga emas. Semuanya percuma,” jelas beliau.
Kerjasama strategik bersama HRD Corp dan beberapa rakan industri turut membantu Unimas mempelbagaikan modul latihan, membolehkan peserta memilih format pembelajaran secara dalam talian atau bersemuka.
Unimas optimis bahawa inisiatif ini mampu menyumbang kepada peningkatan produktiviti tenaga kerja, selain membuka ruang kepada golongan rentan untuk meraih ilmu secara percuma tanpa sekatan umur, latar pendidikan atau status pekerjaan.
Oleh Masrin Affirah