
LIMBANG: Program (Festival Muzik Utara Sarawak (NRMF) 2025 merupakan inisiatif hiburan untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) mendekati pendengar siaran radio di utara Sarawak.
Program ini turut dijalankan dengan matlamat untuk memupuk semangat kerjasama RTM bersama rakan-rakan strategik, serta pendengar dan masyarakat setempat sejajar dengan matlamat ‘Merakyatkan RTM’.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata NRMF merupakan acara tahunan yang telah dimasukkan ke dalam Kalender Aktiviti Bahagian Limbang untuk mempromosikan budaya, kepelbagaian kaum serta jenis muzik, sekali gus memartabatkan warisan kesenian di kawasan utara Sarawak ke tahap lebih tinggi.
“Festival ini kali pertama dianjurkan pada 2019 di Lapangan Padang Kapal Terbang Limbang yang lama dengan tujuan menyatukan pelbagai komuniti melalui muzik dan seni,” katanya pada majlis perasmian program di bandar Limbang malam tadi.
Penganjuran sulung NRMF menerima sambutan menggalakkan daripada penggiat seni, pemuzik dan penonton dari pelbagai lapisan masyarakat, yang mencerminkan potensi besar utara Sarawak dalam industri muzik dan seni.
Beliau turut menekankan bahawa program ini turut meningkatkan ekonomi peniaga kecil dan sederhana di Bahagian Limbang serta memberi impak positif kepada penduduk setempat.
Ucapan Timbalan Premier dibacakan oleh Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, yang mewakili beliau pada majlis perasmian.
NRMF merupakan program terbitan bersama antara RTM Limbang dengan Pejabat Residen Bahagian Limbang, Majlis Daerah Limbang serta rakan strategik tempatan. Program ini kini memasuki edisi kelima sejak pelancaran pertama.

Menurut Awang Tengah, radio sebagai alat media massa memainkan peranan penting menyampaikan maklumat kepada pendengar dari pelbagai latar belakang, termasuk mereka yang tinggal di kawasan terpencil dengan keterbatasan teknologi moden.
“Menerusi radio, maklumat rasmi kerajaan dan isu semasa dapat disampaikan secara menarik dan mudah difahami oleh masyarakat masa kini,” katanya.
Beliau juga menyatakan aktiviti turun padang melalui Studio Mini RTM membantu pihak berkuasa dan mempercepatkan usaha kerajaan dalam menangani isu-isu semasa seperti banjir, kebakaran dan kesihatan awam.
“Radio juga merupakan saluran maklumat yang mudah diakses di mana-mana, terutama dengan adanya radio dalam talian seperti RTM Klik, membolehkan pendengar menerima informasi walaupun ketika memandu, di pejabat, di rumah atau di kebun,” tambah beliau.
Turut hadir, Residen Bahagian Limbang Unus Tambi, Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Enggal, Pengarah Penyiaran Sarawak Puan Wan Wizana Hashim dan kenamaan tempatan lainnya.
Oleh Adeng Edrus