PETRA JAYA, 21 Oktober: Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) membangunkan dua Stesen Pemantauan Kualiti Udara (AQMS) baharu di Kanowit dan Belaga bagi mempertingkatkan pemantauan kualiti udara di negeri itu.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata Pusat Alam Sekitar Pemantauan Jauh (CREM) mini turut dibangunkan di setiap pejabat bahagian.
“Prosedur operasi standard bagi kebakaran tanah gambut dan pembakaran terbuka juga sedang dikaji semula bagi memperkukuh kesiapsiagaan serta penyelarasan antara agensi,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Beliau berkata kerajaan negeri juga merangka dasar dan pelan strategik mencegah kebakaran tanah gambut serta pembakaran terbuka haram bagi meminimumkan pencemaran akibat jerebu di Sarawak selain memastikan kualiti udara pada tahap yang baik.
“Pelan ini menggariskan empat objektif, 13 strategi dan 52 pelan tindakan dengan penekanan terhadap aspek pencegahan, pengesanan awal, pemantauan dan penguatkuasaan,” katanya yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II Sarawak. – Bernama




