
LIMBANG: Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM1.5 bilion kepada Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), melibatkan pelbagai inisiatif pembangunan termasuk penambahbaikan sekolah dan infrastruktur pendidikan di Limbang dan Lawas.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, peruntukan tersebut akan digunakan bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan termasuk infrastruktur asas, kemudahan pelancongan dan riadah, fasiliti sukan serta pendidikan.
Jelasnya, peruntukan ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memastikan akses kepada pendidikan berkualiti dapat disediakan secara menyeluruh, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Dibawah NRDA bagi kawasan kita di Limbang dan Lawas ada peruntukan yang dikhususkan dalam bidang pendidikan.
Pada RMK12, sejumlah RM300 juta diperuntuk untuk prasarana sekolah dan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 NRDA diperuntukkan sebanyak RM1.5 billion untuk pembangunan keseluruhannya termasuk pembangunan prasrana sekolah di Daerah Limbang dan Lawas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis Perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Patiambun (SEPAL) Excellence Award Ceremony (SEAC) 2025 di Dewan Seri Perdana, SEPAL, Limbang, semalam.
Tambah beliau, Sekolah Menengah Sains Limbang (SEPAL) merupakan salah sebuah sekolah di Limbang yang menunjukkan pencapaian membanggakan, bukan sahaja dalam aspek kurikulum, tetapi juga dalam bidang kokurikulum.
Katanya, program tersebut merupakan antara acara kemuncak tahunan yang amat dinantikan oleh seluruh warga sekolah, sebagai medan penghargaan terhadap pencapaian pelajar dalam pelbagai bidang.
Selain itu, ia turut menjadi wadah motivasi untuk mendorong para pelajar terus berusaha mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.
Beliau menambah, SePaL Excellence Award Ceremony sejajar dengan matlamat sekolah dalam memberi dorongan dan membina semangat dalam kalangan pelajar untuk mencapai kecemerlangan secara menyeluruh, sama ada dalam bidang akademik mahupun kokurikulum.
Turut hadir Pengetua SEPAL Ziem Kassim dan tetamu kehormat lain.
Oleh Adeng Edrus