Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Nourul terus bukti komitmen anjur konsert sulung walau berdepan cabaran
  • HIBURAN

Nourul terus bukti komitmen anjur konsert sulung walau berdepan cabaran

Utusan Sarawak 5 hours ago
KONSERT yang sebelum ini dijadual berlangsung pada 17 April 2026 kini ditunda ke 30 Mei 2026. Foto Facebook

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Nourul Depp membuktikan komitmennya terhadap  industri muzik kekal utuh apabila berani menganjurkan konsert solo sulung meskipun berdepan pelbagai cabaran sepanjang persiapan.

Nourul, atau nama sebenarnya Noorulhuda Abdul Wahab, 49, berkata keputusannya mengadakan konsert itu didorong oleh sokongan padu peminat serta keinginan untuk mengangkat potensi nyanyiannya ke tahap lebih tinggi.

“Bila peminat mula beri sokongan dan beli tiket awal, itu memberi isyarat jelas bahawa mereka masih mahu melihat saya di pentas. Sokongan ini menjadi pendorong utama saya untuk teruskan konsert ini. 

“Ada yang hanya menyokong di media sosial, tetapi apabila ada yang benar-benar keluarkan duit untuk beli tiket, itu satu kepercayaan besar yang saya tak boleh abaikan,” katanya kepada pemberita selepas majlis sidang media konsert berkenaan, di sini semalam.

NPURUL Depp buktikan semangat luar biasa—tetap jayakan konsert solo pertama walau diuji cabaran, demi peminat dan perjalanan seni lebih tiga dekad.

Konsert For You: Nourul, dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 30 Mei ini, bagi meraikan perjalanan seni pemenang Anugerah Juara Lagu ke-13 itu selama lebih tiga dekad.

Sebelum ini, konsert itu terpaksa ditunda selepas penganjur asal menarik diri atas alasan masalah peribadi yang tidak dapat dielakkan, mendorong Nourul mengambil keputusan untuk menggalas tanggungjawab sebagai penganjur menerusi syarikatnya ND Entertainment.

Bakal menampilkan dua artis undangan termasuk penyanyi popular Mimi Fly, Nourul berkata seorang lagi adalah penyanyi lelaki yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Menurut pelantun lagu Kerana Terluka itu, pengalaman menguruskan konsert banyak mengajarnya tentang keberanian membuat keputusan serta ketahanan diri dalam menghadapi situasi tidak dijangka.

“Setiap kali nak mulakan sesuatu, rasa takut dan risau terutama soal kewangan memang ada, tetapi saya belajar melihatnya sebagai cabaran dan terus melangkah. Itu satu proses yang membentuk keyakinan diri saya,” katanya dan menambah sokongan suami serta pasukan produksi adalah kunci yang membantu memastikan kelancaran penganjuran konsert itu. 

Pada masa sama, Nourul meluahkan penghargaan terhadap kepercayaan beberapa penaja yang tampil membantu meringankan kos penganjuran. 

“Saya sendiri mengetuk pintu penaja, dan setiap sumbangan yang diterima, sama ada kecil atau besar, sangat membantu dari segi kewangan dan logistik,” katanya dan menambah Eddie Slam akan bertindak sebagai pengarah muzik pada konsert itu nanti.

Beliau juga mengeluarkan dana sendiri sebagai langkah awal untuk memastikan konsert dapat direalisasikan mengikut perancangan. 

“Konsert ini bermula dengan duit sendiri dan kosnya kini mencecah enam digit, tetapi keutamaan saya adalah memastikan pasukan dibayar dan semua perancangan berjalan lancar,” ujarnya.

Menurut ibu kepada empat cahaya mata itu, konsert berkenaan bukan sekadar persembahan hiburan, sebaliknya platform untuk berkongsi perjalanan hidup serta memberi inspirasi kepada peminat.

“Konsert ini adalah refleksi diri saya, bukan hanya sebagai penyanyi tetapi juga sebagai individu yang melalui pelbagai fasa kehidupan. Saya mahu peminat bukan sahaja menikmati muzik, tetapi turut memahami perjalanan dan mesej yang saya bawa,” katanya.

Konsert yang bakal berlangsung selama lebih satu jam setengah itu akan menampilkan lagu-lagu hitnya, termasuk karya dalam bahasa Perancis, dan beliau berharap konsert tersebut bukan sahaja memberi kepuasan kepada peminat tetapi turut  membuka ruang baharu dalam kerjaya seninya pada masa akan datang.- Bernama

Continue Reading

Previous: Pemuzik terkenal tamil, Deva dan Naresh Iyer pukau peminat di Pulau Pinang
Next: Mimi Fly bakal wakili Malaysia di ASEAN-Korea Music Festival 2026

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.