
SEBUYAU: Tirai perkhidmatan Feri Batang Lupar 1 atau lebih dikenali sebagai Feri Triso akhirnya dilabuhkan secara rasmi semalam selepas sekian lama menjadi penghubung utama penduduk di laluan Sebuyau-Triso.
Operasi terakhir feri tersebut menandakan berakhirnya satu era bersejarah apabila pengguna kini boleh menggunakan Jambatan Batang Lupar 1 yang dibuka kepada orang ramai semalam.
Perkhidmatan feri itu sebelum ini menjadi penghubung penting bagi penduduk pesisir Sarawak terutama mereka yang berulang-alik dari Kuching ke Sri Aman, Betong, Sarikei dan Sibu melalui jalan pesisir.


Namun, pengguna sering berdepan kesesakan panjang terutama ketika musim perayaan dan cuti umum.
Suasana operasi terakhir feri semalam turut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan penduduk tempatan dan pengguna jalan raya yang menyifatkan perkhidmatan tersebut penuh dengan nostalgia serta menyimpan pelbagai kenangan sejak berdekad lamanya.
Dalam masa sama, penamatan operasi feri itu membuka lembaran baharu pembangunan infrastruktur Sarawak sekali gus memperkukuh jaringan perhubungan di kawasan pesisir negeri ini. Terima kasih semua petugas feri.
Oleh Norman B