Nostalgia lagu Peterpan himpunkan peminat di Kuching

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

ZURINA, 52, berkongsi keterujaannya apabila berpeluang bertemu kumpulan Peterpan pada sesi bertemu peminat sempena Rock in the City (RITC) 2026 di Star On Stage Kuching, hari ini.

KUCHING: Lebih dua dekad mewarnai industri muzik Nusantara, kumpulan Peterpan terus membuktikan pengaruh mereka apabila sesi bertemu peminat sempena Rock in the City (RITC) 2026 di Star On Stage, di sini, hari ini mendapat sambutan menggalakkan.

Peminat daripada pelbagai peringkat usia hadir seawal petang bagi merebut peluang bertemu kumpulan yang pernah mencipta fenomena menerusi deretan lagu malar segar seperti Semua Tentang Kita, Menghapus Jejakmu, Mungkin Nanti dan Ku Katakan Dengan Indah.

Bagi Zurina, 52, peluang bertemu Peterpan merupakan detik yang dinanti-nantikan sejak sekian lama selepas mengikuti perjalanan muzik kumpulan itu sejak awal penubuhannya.

“Saya memang teruja. Memang minat Peterpan dari zaman dulu lagi, sejak kumpulan ini mula dikenali. Saya memang peminat tegar, peminat sejati,” katanya.

Menurutnya, antara lagu yang paling dekat di hatinya ialah Semua Tentang Kita, selain turut meminati beberapa lagu lain seperti Mungkin Nanti dan Menghapus Jejakmu.

TEHAH, 27, berkata peluang bertemu Peterpan menjadi kenangan istimewa selepas meminati kumpulan itu sejak di bangku sekolah rendah pada sesi bertemu peminat sempena Rock in the City (RITC) 2026 di Star On Stage Kuching, hari ini.

Sementara itu, Tehah, 27, berkata minatnya terhadap Peterpan bermula sejak di bangku sekolah rendah hasil pengaruh kakaknya yang sering memainkan lagu-lagu kumpulan tersebut di rumah.

“Perasaan dapat jumpa Peterpan memang lain macam. Ada memori dari dulu lagi. Saya tidak pernah berpeluang bertemu mereka sebelum ini, jadi hari ini dapat jumpa memang sangat teruja. Sejak sekolah rendah saya sudah minat, tetapi sebelum ini tidak pernah berpeluang bertemu mereka,” katanya.

Beliau berkata, peluang menghadiri sesi bertemu peminat itu tidak dilepaskan selepas mengetahui Peterpan akan hadir ke Kuching sempena Rock in the City 2026.

Katanya, lagu Mungkin Nanti menjadi pilihan kerana mempunyai makna yang mendalam dan sering mengingatkannya bahawa setiap impian memerlukan kesabaran untuk direalisasikan.

PEMINAT tidak melepaskan peluang bergambar dan mendapatkan autograf daripada anggota kumpulan Peterpan pada sesi bertemu peminat sempena Rock in the City (RITC) 2026 di Star On Stage Kuching, hari ini.

Sesi bertemu peminat itu turut memberi peluang kepada orang ramai untuk beramah mesra, bergambar dan mendapatkan autograf daripada anggota Peterpan sebelum kumpulan tersebut membuat persembahan pada Rock in the City 2026.

Oleh Shikin Mahmud