KAPIT: Seminggu sebelum dan selepas sambutan Hari Gawai Dayak, sepanjang jalan raya dari Sibu, Song ke Kapit dilaporkan penuh sesak dengan kenderaan orang ramai yang balik kampung.
Rhiz Emmanuel yang balik ke kampung bersama ibu bapanya untuk sambutan Hari Gawai pada tahun ini teruja melihat kesesakan Pekan Kanowit yang mula dibanjiri kenderaan.
Senario ini jarang-jarang berlaku hanya pada hari-hari tertentu sahaja terutamanya apabila menjelang musim perayaan, penduduk rumah panjang yang menjadi perantauan akan balik ke rumah panjang masing-masing tidak kurangnya juga penduduk dari kawasan Kapit dan Kanowit.
“Beberapa tahun yang lalu ketika seluruh negara berdepan dengan pandemik Covid-19, pergerakan terbatas disebabkan ada prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi tambahan pula pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Sepanjang beberapa tahun itu jugalah, kebanyakan kawasan terutamanya yang ada rumah panjang sunyi dan sepi sebab yang berada di perantauan tidak dapat balik ke kampung halaman, juga tidak diadakan rumah terbuka atau ngabang dari rumah ke rumah.
“Hari Gawai Dayak dirai tapi dalam suasana amat sederhana,” kata Emmanuel yang menetap di Sibu namun terdorong kemeriahan suasana, memilih untuk meraikan sambutan Gawai Dayak pada tahun ini di rumah panjang datuknya di Kapit. .
Selain itu, faktor yang membuat ramai penduduk dari rumah memilih untuk memandu kereta ke Kapit adalah berikutan siapnya jalan dari Sibu ke Kapit, beberapa tahun yang lalu.
“Namunpun jalan sudah siap sekitar dua tahun yang lalu, sambutan Hari Gawai tidak meriah berikutan SOP yang dikenakan.
“Namun tahun ini, kita sudah berada di fasa endemik jadi rumah terbuka dibenarkan, dan ramai yang memilih untuk meraikan Gawai Dayak bersama-sama keluarga besar di rumah panjang masing-masing,” katanya lagi.
Antara menariknya ialah perlu menaiki bot untuk rumah panjang yang berada berdekatan dengan Sungai Melipis.
“Untuk ke rumah panjang tersebut perlu mengharungi perjalanan darat dari Sibu, seterusnya menaiki bot,” jelasnya.
Destinasi Emmanuel sekeluarga ialah Rumah Mulai, Batu Ninding Melipis yang merupakan lokasi rumah panjang terakhir di kawasan tersebut.
“Kami mengharungi perjalanan kereta selama dua jam dari Sibu ke Nanga Sebatu dan seterusnya lima minit menggunakan perahu tambang menyeberangi Batang Rajang menuju ke Nanga Melipis,” ujarnya lagi.
Selepas itu, katanya, mereka menaiki kenderaan tambang pacuan empat roda lagi selama 10 minit perjalanan menuju ke rumah panjang datuknya.
“Rumah pertama yang kelihatan sepanjang perjalanan di Nanga Melipis tersebut ialah Rumah Panjang Rambor. Dan rumah datuk saya adalah yang terakhir di kawasan tersebut. Ini bukan yang pertama kami ke sini, namun kali ini boleh dikatakan cukup istimewa kerana jalan dari Sibu ke Kapit cukup bagus. Tambahan lagi tahun ini perayaan Gawai Dayak adalah cukup meriah atau tidak seperti biasa terutama sebelum Covid-19 melanda negara. Selama tiga tahun tidak ada Rumah Terbuka atau aktiviti `Ngabang (ziarah-menziarahi)’ dari satu pintu bilik ke pintu bilik yang lain. Dan malah pada tahun ini ada yang pergi dari satu rumah panjang ke satu rumah panjang,” ujarnya lagi.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Methodist Sibu ini menyatakan bahawa jalan menghala ke rumah datuknya sudah bertar dan mengharapkan pada perayaan akan datang kereta dari Sibu boleh diletakkan di depan rumah panjang datuknya.
“Namun sayang kita tidak boleh menggunakan kereta sendiri sehingga ke rumah panjang datuk kerana belum ada feri. Saya percaya pada tahun depan kita boleh pergi terus ke rumah panjang dari Sibu kerana pengkalan feri di Sungai Melipis sudah ada, namun, feri belum ada lagi.
“Saya juga mengharapkan semua jalan-jalan di sana nanti semuanya bertar dan perjalanan akan bertambah lancar dari Sibu hingga ke rumah panjang,” tambah Emmanuel.
Seperti biasa beliau ditemani oleh bapa dan ibunya, yang berasal dari Rumah Panjang Mulai dan kini menetap di Oya Road Sibu.
Oleh HENNIE CORNELIUS