SEBUAH kenangan hanya mampu dikenangi kerana untuk mengulanginya tidak mungkin sama sekali. Itulah pepatah yang tepat apabila selepas 36 tahun bersama-sama mentelaah pengajian dari darjah satu pada 1979 hingga tamatnya darjah enam 1984, akhirnya rakan-rakan lama Sekolah Rendah Kampung (SRK) Senari dapat bertemu kembali baru-baru ini.
Walaupun tanpa kehadiran empat lagi rakan pelajar lain yang tidak dapat hadir pada Majlis Alumni SRK Senari 1979-1984, tetapi ternyata perjalanan program amat meriah dan santai apatah lagi setelah 36 tahun berkumpul semula.
Kehadiran mantan Guru Besar SRK Senari ketika itu, Haji Bee Lee yang juga merupakan guru Bahasa Inggeris menambahkan lagi seri program sekali gus mengimbas kembali kenangan semasa bergelar pelajar.
Pengerusi program, Sulfee Alias berkata ini merupakan aktiviti yang julung kali diadakan khususnya sesi 1979-1984 meski beberapa pelajar lain tidak dapat hadir kerana ada yang tinggal di Semenanjung Malaysia.
Katanya, untuk program selepas ini, diharapkan semua rakan pelajar akan dapat hadir selain guru-guru yang pernah berkhidmat di SRK Senari turut dijemput bagi memeriahkan majlis pada masa akan datang.
“In sha Allah…kita akan menjemput guru-guru yang pernah berkhidmat di SRK Senari tidak kira sesi atau tahun pada program akan datang. Malah kita juga berharap semua rakan pelajar dapat meluangkan masa untuk berkumpul nanti.
“Bayangkan sudah 36 tahun tidak berjumpa…mungkin ada yang tidak kenal wajah antara satu sama lain kerana masing-masing sibuk dengan kehidupan dan keluarga serta kerjaya. Yang penting semoga ingatan bersama-sama semasa belajar di bangku sekolah tetap tidak pudar dalam sanubari kita sehingga ke akhir hayat,” ujarnya.
Pada majlis itu, beberapa acara turut diadakan dengan menyampaikan cenderamata kepada Guru Besar Haji Bee Lee, memotong kek dan merakam gambar beramai-ramai mengikut suasana zaman ketika persekolahan.
Sementara itu, Haji Bee berkata beliau amat terharu dengan jemputan daripada pelajar-pelajarnya apatah lagi dalam keadaan dirinya yang semakin diinjak usia selepas bersara daripada seorang guru 20 tahun lalu.
Jelasnya lagi, bukan mudah untuk berkumpul bersama-sama dengan para pelajar yang sudah ditinggalkan sejak 36 tahun lalu, tetapi atas usaha semua akhirnya majlis perjumpaan dapat diadakan walapun tanpa kehadiran beberapa yang lain.
“Alhamdulilah…hampir semua nama-nama pelajar saya mampu ingati walapun sudah 36 tahun tidak bertemu kerana ada yang sering saya jumpai sebelum ini. Apa pun, sebagai seorang bekas guru, saya sentiasa mendoakan kepada semua pelajar supaya terus berjaya dalam kehidupan ditempohi,” kata beliau.
Oleh Mahdar Bujang