
KUCHING: NorthBank Central, nadi komersial kepada bandar utama The NorthBank di sini hampir mencapai kadar penghunian sepenuhnya, menandakan satu pencapaian penting visi syarikat untuk membangunkan perbandaran yang bersedia untuk masa depan.
Dalam satu kenyataan, pemaju The NorthBank, Ibraco Bhd berkata sambutan pasaran yang menggalakkan terhadap projek ini mencerminkan keyakinan tinggi terhadap pelan induk The NorthBank.
“Ia mengukuhkan lagi visi kami untuk membangunkan sebuah bandar yang mampan dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan, sejajar dengan keperluan pembeli dan pelabur moden.
“Dengan pembangunan akan datang seperti NorthBank Business Park, kami melangkah ke fasa seterusnya dalam mewujudkan sebuah hab bandar yang benar-benar bersepadu, boleh didiami dan berkembang pesat di Kuching,” kata Pengarah Urusannya Datuk Chew Chiaw Han.
Terletak secara strategik di sepanjang Lebuhraya Kuching-Samarahan, NorthBank Central dirancang sebagai hab ekonomi dan gaya hidup utama bagi kawasan Kuching Raya (Greater Kuching).
Ini mencerminkan kejayaan pelaksanaan pelan induk menyeluruh oleh Ibraco untuk The NorthBank, yang menggabungkan elemen kediaman, komersial, pendidikan, kesejahteraan dan penjagaan kesihatan dalam satu ekosistem kendiri.
Pembangunan The NorthBank merangkumi beberapa zon utama, termasuk NorthBank Business Park yang bakal dibangunkan, sebuah projek penggunaan bercampur seluas 11 ekar yang mengintegrasikan ruang komersial, pejabat, kediaman dan kemudahan gaya hidup untuk memenuhi permintaan kehidupan bandar yang semakin berkembang.
Terletak bersebelahan dengan Sama Jaya High Tech Park yang menempatkan lebih 15 syarikat terkemuka serta tenaga kerja mahir, The NorthBank kini mencatatkan kadar penghunian hampir penuh untuk unit kediaman dan komersial.
The NorthBank Clubhouse turut menyediakan kemudahan rekreasi dan kesejahteraan untuk komuniti.
Perbandaran ini juga terletak di sepanjang Laluan Biru Sistem Transit Rel Autonomi (ART) dengan hentian khusus, memastikan akses lancar ke Kota Samarahan dan kawasan pembangunan utama lain di Kuching Raya.
“Kemajuan infrastruktur yang dirancang, termasuk penaiktarafan jalan dan utiliti serta kesediaan untuk Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS), dijangka akan terus meningkatkan tahap kebolehcapaian dan potensi pertumbuhan kawasan ini,” kata kenyataan itu.– Bernama