LIGA Perdana Inggeris akhirnya berjaya kembali pada 17 Jun ini daripada penantian sekian lama berikutan ‘lockdown’ tiga bulan lalu akibat pandemik Covid-19.
Lanskap telah berubah sejak Mac lalu dengan kelab telah menyambut pemain kembali daripada kecederaan manakala yang lain berkesempatan untuk berkumpul semula dan Liverpool harus menerima kenyataan dengan perayaan gelaran yang dijangka suram.
Ketika kali terakhir kita melihat Jose Mourinho, pengurus Tottenham itu kelihatan sosok dan putus asa kerana dia mengakui berharap dapat maju ke musim depan.
Pada masa itu, Tottenham yang dilanda kecederaan berada dalam rentak tanpa kemenangan pada enam perlawanan yang menyaksikan mereka tersingkir daripada Liga Juara-Juara UEFA dan Piala FA.
Ketinggalan tujuh mata di belakang empat pasukan teratas namun tidak ada bos yang mendapat lebih banyak keuntungan daripada rehat tiga bulan berbanding Mourinho dan Tottenham yang berada di tangga kelapan akan kembali bersemangat setelah Harry Kane, Son Heung-min, Steven Bergwijn, Erik Lamela dan Moussa Sissoko kembali cergas.
Ia harus menjadi dorongan yang ideal bagi perlumbaan untuk layak ke Liga Juara-Juara terutamanya dengan aksi pertama yang penting bagi memulakan semula kempen mereka dengan menentang pasukan yang turut bersaing untuk menduduki empat tempat teratas iaitu Manchester United.
United, empat mata di atas Tottenham di tempat kelima kecewa ketika musim ditangguhkan.
Diilhamkan oleh pemain berpengaruh yang dibeli pada Januari lalu, Bruno Fernandes, mereka berada pada rentak 11 perlawanan tanpa kalah dalam semua saingan sejak Januari.
Lebih penting, kembalinya penyerang England yang cedera, Marcus Rashford dan pemain tengah Perancis, Paul Pogba berjanji untuk meneruskan langkah mereka tepat pada masanya, dengan pertembungan Tottenham diikuti dengan perlawanan penting lain ketika menentang Sheffield United yang berada di tempat ketujuh.
Dengan amaran mengerikan mengenai masalah kewangan jangka panjang bola sepak berlegar di telinga mereka, kelab-kelab yang terlibat dalam pertempuran penyingkiran telah memberi tumpuan kepada menyelamatkan diri sendiri.
Berbalah tentang bagaimana hendak memutuskan musim jika ia diberhentikan sama sekali, mengeluh berpotensi bermain di gelanggang berkecuali dan berpendapat bahawa musim itu akan dimulakan terlalu awal.
Brighton akan berada di bawah tekanan besar untuk tampil setelah berdebat dengan lantang menentang bermain di tempat berkecuali.
Tanpa kemenangan pada 2020, mereka hanya berada dua mata di atas zon penyingkiran dan akan menentang Arsenal, Manchester United, Liverpool dan Manchester City.
Watford, terkeluar daripada tiga tempat tecorot menerusi perbezaan gol yang juga pengkritik vokal terhadap cadangan bermain di tempat berkecuali.
The Hornets akan jatuh ke zon penyingkiran jika Aston Villa menang tetapi perlawanan lebih mudah di tempat sendiri menentang Southampton, Norwich dan Newcastle menawarkan harapan bagi mengelak daripada tersingkir.
Pasukan kedua tercorot Villa yang mengalami empat kekalahan liga berturut-turut berpeluang kembali pada saat mereka berada dalam bahaya untuk tumbang.
Bournemouth di tangga ke-18, tanpa kemenangan dalam empat perlawanan, turut berharap rehat itu akan menjadi batu loncatan untuk bertahan.
Daripada penyokong yang gembira memuji ‘hero’ mereka kerana menamatkan penantian selama 30 tahun Liverpool untuk dinobatkan sebagai juara Inggeris, kemenangan The Reds yang akan berlangsung di stadium kosong dan berkemungkinan akan terasa anti klimaks.
SkuadJurgen Klopp unggul 25 mata di puncak dan hanya memerlukan maksimum dua kemenangan daripada baki sembilan perlawanan mereka untuk merebut gelaran Inggeris ke-19.
Trofi mampu menjadi milik mereka lebih awal pada 21 Jun jika Manchester City di tempat kedua tewas kepada Arsenal dan Liverpool menewaskan saingan Merseyside, Everton.
Bagaimanapun dengan baki musim yang bakal dilangsungkan tanpa kehadiran penyokong, suasana di sekitar kelab sedikit berubah.
Prospek Liverpool terpaksa menunda perarakan mereka melalui bandar dengan piala hingga tahun depan kerana peraturan penjarakan sosial merupakan satu lagi tamparan.
Tidak hairanlah bekas penyerang Arsenal, Alan Smith yang terkenal memenangi gelaran di Anfield bersama Gunners pada hari terakhir musim 1988/89, berkata: “Sekiranya Liverpool akhirnya dinobatkan, itu akan membuktikan anti klimaks besar.
“Saya tidak dapat menahan diri daripada merasa simpati kepada Sadio Mane, Mo Salah, Virgil van Dijk dan semua yang berhak mendapatkan setiap pujian di atas usaha yang luar biasa.” – AFP