BEBERAPA bulan lalu, pada bulan Julai tahun ini, Premier Sarawak dilaporkan menyatakan Menteri Pendidikan melambatkan dana untuk sekolah yang rosak. Beliau menyatakan selepas menutup perkhemahan kepimpinan belia di SMK Gedong iaitu di sebuah Dewan Undangan Negeri yang diwakilinya.
Kekecewaan ini menurut beliau hingga beliau menyatakan Putrajaya banyak cakap tetapi tidak mengagihkan dana untuk membaiki sekolah-sekolah di Sarawak sehingga beliau menyatakan bahawa para guru terpaksa mengatasi keadaan. Dalam sebuah portal nasional berbahasa Inggeris, Premier dipetik sebagai berkata,
“The ministry talks the talk but did not disburse funds to repair schools in Sarawak… “Education is very important and that is why I am a bit miffed with Putrajaya about this. They should walk the talk… “I have asked for details and the cost from the education department, but until today, they have not given me what I asked for…” (FMT, 23 Julai 2023). Beliau menegaskan pendidikan sangat penting dan sepatutnya pihak Kementerian Pendidikan melaksanakan perkara yang mereka cakap.
Keseriusan ini menurut beliau sehingga ke tahap Sarawak terpaksa mula membiayai perbaikan daripada bekalan sendiri. Premier mendakwa beliau telah meminta butiran dan kos dari jabatan pendidikan, tetapi sehingga hari ini, mereka tidak memberikan apa yang beliau minta. Sebelum itu pada Mei lalu Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendesak Kementerian Pendidikan dan Kewangan untuk memastikan bahawa tiada “gangguan birokrasi” yang akan memberi kesan kepada usaha memperbaiki sekolah-sekolah rosak di negara ini. Anwar sebenarnya telah memberikan arahan kepada dua kementerian tersebut untuk mempercepatkan kerja pembinaan semula sekolah-sekolah ini, dan tidak mahu sebarang masalah pentadbiran menghalang inisiatif kerajaan. Perkara ini kerana Anwar mempersoalkan masalah pelajar masih belajar tanpa kemudahan asas seperti tandas apabila Malaysia telah mengalami pertumbuhan ekonomi yang mengagumkan.
Isu Hak Karbon
Baru-baru ini Premier Sarawak juga mendedahkan terdapat pihak tertentu yang ingin ‘merampas’ kuasa berkenaan hak karbon daripada kerajaan Sarawak. Beliau berkata tindakan itu tidak wajar memandangkan ia berada di bawah bidang kuasa Sarawak berdasarkan Undang – undang Kanun Tanah (Pindaan). Beliau juga berikrar akan mempertahankan karbon dan hak Sarawak ini telah dimasukkan ke dalam Undang-undang Kanun Tanah yang telah dipinda. Kenyataan ini adalah lanjutan dari Mei tahun lepas (2022) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Tanah (Pindaan) 2022 yang membolehkan kerajaan Sarawak mengawal ruang udara di atas wilayahnya.
Pindaan RUU tersebut membolehkan Sarawak menyelia dan mengawal penggunaan tanah di daratan dan luar pesisir termasuk dasar laut yang membentuk pelantar benua. Susulan daripada pindaan berkenaan, apa-apa sahaja keputusan mengenai karbon terletak di bawah bidang kuasa Sarawak termasuk tenaga. Malah dari aspek perundangan lanjut, Sarawak telah menghantar peguam untuk meneliti undang-undang Komanwel. Tegas Premier, “Saya sudah hantar peguam kita untuk lihat undang – undang Komanwel, kalau sentuh undang – undang dan hak kita, kita akan lawan semula, kita dalam PBB jangan takut” (TVSTV,8 Oktober 2023) Sebelum Sarawak pernah membawa kes isu Petronas ke mahkamah dan keputusan memihak kepada Sarawak.
Premier juga menyeru agar Kerajaan Persekutuan mengemaskini perundangan khususnya berkaitan perdagangan karbon selari dengan peralihan negara kepada ekonomi baharu. Ekonomi negara perlu menjalani reformasi yang lebih mampan untuk bersaing dengan negara lain. Beliau menyatakan karbon adalah satu komoditi dalam perdagangan antarabangsa yang boleh diniaga berdasarkan ketetapan yang diputuskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Selain itu, sudah berbincang dengan Perdana Menteri berhubung isu perdagangan karbon yang sedang diusahakan Sarawak untuk menjadi penjana ekonomi baharu. Maka perlu ada undang-undang dalam rangka kerja untuk menguruskan karbon.
Keutamaan Sarawak
Sarawak mempunyai sumber tenaga boleh diperbaharui seperti hidro dan solar yang akan membolehkan negeri itu memainkan peranan utama dalam peralihan ke arah ekonomi hidrogen menjelang 2030. Justeru, Premier optimis bahawa Sarawak boleh mengubah keseluruhan ekosistem ekonomi dalam masa beberapa tahun akan datang berikutan negeri ini kaya dengan sumber hidro dan solar.
“Kawasan pedalaman di Sarawak yang tiada grid hidro menerima bekalan elektrik menerusi tenaga solar..Ini bermakna kita juga boleh menggunakan sistem solar menerusi Skim Elektrifikasi Luar Bandar Alternatif Sarawak (SARES) di kawasan luar bandar untuk menghasilkan hidrogen,” (Harian Metro, 7 Jun 2023). Tegas Premier dalam sebuah majlis rasmi kerajaan negeri.
Norma Baharu Hubungan Sarawak-Putrajaya
Segala teguran Sarawak terhadap Putrajaya dalam beberapa isu seumpama ini adalah suatu norma baharu yang tidak pernah berlaku pada zaman Mahathir Mohamad, Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Tun Razak. Ia hanya berlaku sejak 2018. Perkara ini menunjukkan Sarawak mempunyai suara yang kuat dan bebas menyatakan sikap dan pendirian bagi memastikan hak dan pembangunan negeri Sarawak tidak mudah diabaikan lagi. Lebih-lebih lagi ia terhasil daripada kerjasama dalam sebuah Kerajaan Perpaduan.
Situasi ini bukanlah petunjuk hubungan tidak baik di antara kedua blok kuasa tersebut. Sebaliknya, menunjukkan Sarawak mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pihak berkuasa di Putrajaya. Lebih-lebih lagi kuasa di Putrajaya turut dipunyai oleh ahli Kabinet dari Sarawak termasuk jawatan kedua tertinggi negara, iaitu jawatan Timbalan Perdana Menteri. Maka, Sarawak berasa lebih dekat, lebih ikhlas untuk menyatakan masalah yang berlaku di negeri Sarawak dan mahukan penyelesaikan masalah yang lebih baik untuk kemajuan dan pembangunan negeri Sarawak.
Hubungan Sarawak pula dilihat bersifat hubungan dan kepimpinan transaksional iaitu berdasarkan sasaran yang mahu dicapai. Seringkali ganjaran berbentuk autonomi, tambahan peruntukan, pemberian sumber kewangan sebagai mekanisme mengekalkan hubungan. Seringkali tawar-menawar politik ekonomi berlaku dalam hubungan ini.
Perdana Menteri dan Premier pula dilihat mempunyai autoriti bagi memastikan hubungan kedua-duanya berjalan lancar. Ketika kedudukan kerajaan pusat tidak begitu kuat, maka beberapa siri teguran, kritikan malah tuntutan dilakukan secara terbuka bagi menimbal balas sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan. Kelebihan ini digunakan sepenuhnya oleh Sarawak untuk memastikan tidak lagi ketinggalan daripada segala aspek pembangunan. Ini bukanlah suatu yang baharu, malah berlaku juga ketika Sarawak menyertai Kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini.
- Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).