PUTRAJAYA: Siri nombor pendaftaran SYG mengutip hasil bidaan tertinggi melalui sistem JPJebid, iaitu sebanyak RM3.4 juta, dengan nombor SYG 1 mendapat bidaan tertinggi sebanyak RM115,000 melibatkan 14 orang pembida.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, sebanyak 3,173 nombor pendaftaran SYG berjaya dibida, sepanjang tempoh bidaan dibuka selama lima hari bermula 10 Jun lepas.
Beliau berkata, nombor pendaftaran SYG 8055 menarik jumlah pembida paling ramai bagi siri itu, melibatkan 25 pembida dengan harga tertinggi RM19,000.
“Secara tidak langsung, siri ini (SYG) telah mendahului siri ALL yang dibuka tahun lalu, dengan perbezaan kutipan sebanyak RM100,254,” katanya pada sidang media, di sini semalam.
Shaharuddin berkata, sebanyak 6,826 baki nombor pendaftaran siri SYG itu yang tidak dibida, akan dibuka kepada umum untuk pembelian mengikut harga minima di pejabat dan kaunter JPJ di seluruh negara bermula 1 Julai ini.
Dalam pada itu Shaharuddin berkata, JPJ telah mengambil tindakan terhadap 12,694 kenderaan dengan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi atau mengelirukan, sepanjang Januari hingga Mei tahun ini.
Menurutnya, jumlah tindakan berhubung kesalahan tersebut meningkat hampir setiap tahun, dengan sejumlah 24,261 notis dikeluarkan pada 2017, 2018 (26,550) dan 2019 (54,619).
“Nombor-nombor ini adalah berdasarkan interpretasi masing-masing, ada yang cuba menjadikan nombor ini secara menarik (fancy), jadi saya harap orang ramai faham kita ada undang-undang yang menetapkan tidak boleh pasang nombor tidak mengikut spesifikasi,” katanya.
Mengenai pendigitalan perkhidmatan JPJ beliau berkata, bermula 1 Julai ini pembaharuan lesen kenderaan motor (LKM) boleh dibuat secara dalam talian, melalui portal mySIKAP dan lesen berkenaan akan diposkan ke rumah pengguna melalui Pos Malaysia.
“Untuk itu, kita menggalakkan orang ramai supaya mendaftar untuk memiliki ID mySIKAP. Jadi tidak perlu berbaris di kaunter,” katanya.
Sementara itu Shaharuddin berkata, terdapat sejumlah 2.1 juta kenderaan dengan LKM tamat tempoh dan 2.2 juta lesen memandu Malaysia (LLM) yang masih belum diperbaharui sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, pada 18 Mac sehingga 14 Jun lepas.
Katanya, walaupun pengecualiaan pembaharuan LKM dan LLM diberikan sepanjang tempoh PKP dilanjutkan sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) namun, orang ramai disarankan membuat urusan pembaharuan bagi mengelakkan kesesakan di kaunter setelah perintah berkenaan berakhir. – Bernama