
KEHADIRAN penyanyi hip-hop terkenal Noki K-Clique dalam bidang lakonan semakin mendapat tempat di hati peminat sejak penampilan pertamanya menerusi filem War On Terror: KL Anarki dua tahun lepas.
Pemilik nama Ahmad Ikhwan Aji, 30, ini dilihat semakin selesa dalam dunia perfileman tanah air apabila kembali ke layar perak dengan membawa watak Safwan di dalam filem terbaharu yang sedang ditayangkan di pawagam Soloz: Game Of Life.
Bergandingan dengan Hun Haqeem yang memegang watak utama sebagai Soloz, Noki berkata watak Safwan, pemuda kelahiran Sabah yang menetap di Kuala Lumpur mempunyai keistimewaan tersendiri yang menyebabkan beliau tidak mahu melepaskan peluang terlibat dalam filem arahan Syafiq Yusof itu.
Meskipun watak Safwan itu nampak mudah, iaitu sebagai gamer yang juga rakan baik Soloz, ada babak-babak mencabar seperti konflik antara Safwan dan bapanya yang memerlukan beliau menangis, katanya.
“Sebenarnya semasa Noki buat proses dabing, saya tidak rasa sangat pun (kesedihan). Tapi, apabila yang sudah siap letak semua (muzik latar), sedar-sedar air mata itu keluar sendiri,” katanya.
MAHU DIKENALI PELAKON VERSATIL

Mahu dikenali sebagai pelakon versatil, Noki tidak mahu melepaskan peluang mencuba pelbagai watak yang boleh mencabar kemampuan lakonannya, terutama babak aksi yang menjadi impiannya sejak dahulu.
“Sebenarnya sejak awal-awal saya menceburi bidang lakonan ini, minat saya ke arah itu (melakonkan watak aksi). Lebih-lebih lagi watak aksi yang memerlukan saya menggunakan tangan (bertumbuk).
“Saya telah cuba watak menjadi lelaki psiko, kalau ada tawaran selepas ini, saya mahu cuba bertarung,” katanya kepada Bernama selepas majlis Gala Premier Filem Soloz: Game Of Life baru-baru ini.
Meskipun semakin mencipta nama dalam dunia lakonan, anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini tidak berhasrat meninggalkan bidang nyanyian dan ingin memastikan kedua-dua bidang tersebut dapat bergerak seiring.
Bekas juara Anugerah Jura Lagu (AJL) ke-35 dengan lagu Gila yang didendangkan bersama Kaka Azraf dan Loca B itu menjelaskan dunia muzik sudah sebati dengan jiwanya.
“Sejujurnya, saya suka kedua-dua. Permulaan saya masuk industri adalah kerana rap. Muzik adalah akarnya (jadi) saya tidak akan tinggalkan. Cuma apabila diberi peluang lain, saya suka nak mencuba,” katanya yang akan mengeluarkan lagu single terbaharu tahun ini. – Bernama