
PETRA JAYA: Acara Niti Daun yang dijadual berlangsung pada 20 Jun ini di sepanjang Tebingan Kuching dijangka menjadi antara kemuncak Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026 dengan penyertaan 99 kontinjen dari seluruh negeri.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, acara berkenaan bakal menghimpunkan masyarakat Dayak daripada pelbagai daerah bagi mempamerkan kekayaan budaya, adat resam dan identiti etnik yang menjadi kebanggaan Sarawak.
Menurut beliau, persiapan bagi penganjuran Niti Daun dan Majlis Makan Malam Gawai Dayak telah dibincangkan secara terperinci dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026 yang dipengerusikan oleh beliau di Bilik Mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, semalam.
Katanya, mesyuarat tersebut memberi tumpuan kepada penyelarasan pelbagai aspek logistik, keselamatan dan pengurusan acara bagi memastikan kedua-dua program utama itu dapat dilaksanakan dengan lancar serta teratur.
“Kerjasama erat antara semua jawatankuasa dan agensi terlibat amat penting bagi memastikan keseluruhan sambutan Gawai Dayak peringkat Sarawak tahun ini berjalan lancar dan teratur,” katanya.
Beliau berkata, sambutan Gawai Dayak bukan sekadar platform meraikan budaya dan warisan masyarakat Dayak, malah berperanan sebagai medium penting dalam memperkukuhkan perpaduan rakyat berbilang kaum di negeri ini.
Tambahnya, penganjuran pelbagai program sepanjang sambutan itu juga mampu mempromosikan keunikan budaya Sarawak kepada pelawat dari dalam dan luar negara.
Sementara itu, Majlis Makan Malam Gawai Dayak akan berlangsung pada 21 Jun di Pusat Konvensyen Borneo (BCCK) Kuching dan dijangka menghimpunkan pemimpin masyarakat, tetamu kenamaan serta pelbagai lapisan masyarakat.
Uggah berkata, kedua-dua acara berkenaan dijangka menjadi tarikan utama sambutan Gawai Dayak peringkat Sarawak tahun ini sekali gus memperkukuhkan semangat perpaduan serta penghargaan terhadap warisan budaya masyarakat Dayak.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memuji kejayaan penganjuran Bazar Gawai Dayak dan Festival Etnokultural yang berlangsung di Miri dari 1 hingga 23 Mei lalu, yang menerima sambutan menggalakkan daripada masyarakat pelbagai kaum serta menyumbang kepada kemeriahan sambutan Gawai Dayak 2026.
Oleh Adi Safarman