
PETRA JAYA: Usaha memperkukuh budaya keselamatan di jalan raya dan tempat kerja terus diperkasa apabila Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) menjalin kerjasama rasmi bersama MRS Management Sdn Bhd melalui Memorandum Perjanjian (MoA) yang ditandatangani, hari ini.
Pengerusi NIOSH, Chong Chieng Jen berkata, kerjasama strategik itu diyakini mampu mengurangkan risiko kemalangan, sekali gus memberi impak langsung kepada ribuan pekerja yang terdedah kepada bahaya ketika menjalankan tugas di lapangan.
“Walaupun usaha ini mungkin tidak mampu menghapuskan sepenuhnya kemalangan, saya yakin ia boleh mengurangkan kejadian serta tahap keterukan kerosakan atau kecederaan.
“MRS membawa pengalaman lebih lima tahun dalam bidang latihan pemanduan berhemah dan pengendalian kenderaan lasak, termasuk konsultansi keselamatan yang komprehensif,” katanya dalam ucapan sempena majlis pertukaran MoA di Pejabat NIOSH Sarawak, di sini, hari ini.
Menurut beliau, kerjasama itu akan menyaksikan MRS melaksanakan latihan seperti Latihan Pemanduan Berhemah (DDT) dan Latihan Off-Road 4×4, dengan pemantauan dan sokongan daripada NIOSH dari segi standard, pematuhan peraturan serta penjenamaan bersama.
“Malah, saya telah mengarahkan supaya lebih banyak kerjasama seperti ini diwujudkan bersama penyedia latihan lain, kerana NIOSH bukan berfungsi untuk bersaing, tetapi untuk berkolaborasi demi meningkatkan tahap keselamatan negara,” tegasnya.
Sementara itu, wakil MRS Management, Robin Teo menyifatkan MoA tersebut sebagai langkah tepat dan signifikan dalam mengangkat mutu latihan keselamatan, khususnya dalam bidang pemanduan dan pengendalian kenderaan komersial serta industri.
“MRS ialah penyedia latihan yang diluluskan HRD Corp, diperakui ISO 29993 dan merupakan rakan latihan rasmi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bagi keselamatan jalan raya di Sarawak.
“Kami telah melatih lebih 5,000 pemandu setakat ini, dan lebih 4,800 daripadanya telah menunjukkan kompetensi dalam mempraktikkan pemanduan berhemah,” ujarnya.
Tambahnya, latihan yang ditawarkan bukan sahaja membantu meningkatkan tahap kesedaran pemandu, tetapi juga menyumbang kepada misi besar NIOSH dalam menyelamatkan nyawa dan mengurangkan risiko pekerjaan.
“Kerjasama ini bukan sekadar melaksanakan kursus, tetapi satu usaha untuk mewujudkan tenaga kerja lebih selamat dan berdaya tahan.
“Kami berharap dapat terus bekerjasama, belajar, dan berkembang bersama dalam usaha berterusan menyemai budaya keselamatan di Malaysia,” katanya.
Turut hadir Pengurus NIOSH Sarawak, Normiza Suhaili, Pengarah MRS, Teo Choon Chew dan Ketua Perhubungan Pelanggan serta Pembangunan Perniagaan MRS, Robin Teo.
Oleh Shikin Mahmud