Ninie Racha Anding dipilih penerima Biasiswa Yayasan Sarawak, lanjut pengajian Sarjana

Facebook
WhatsApp
NINIE Racha Anding terpilih sebagai salah seorang daripada tiga penerima pertama Biasiswa Yayasan Sarawak bagi melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana. Foto: Ninie Racha Anding

KUCHING: Ninie Racha Anding melakar sejarah tersendiri apabila dipilih sebagai salah seorang daripada tiga penerima pertama Biasiswa Yayasan Sarawak untuk melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana.

Beliau menerima surat tawaran bagi mengikuti program Sarjana Sastera dalam Pembangunan Kepimpinan (Master of Arts in Leadership Development) di Kolej Universiti Kepimpinan Wanita ASEAN (Asean Women Leadership University College, AWLUC), Pulau Pinang sempena Sambutan Hari Wanita Sarawak 2026 yang berlangsung semalam.

Pencapaian tersebut bukan sahaja membanggakan keluarga dan komuniti beliau, malah memperlihatkan komitmen kerajaan Sarawak dalam memperkasakan pendidikan tinggi serta melahirkan lebih ramai pemimpin wanita berwibawa menerusi peluang pendidikan berkualiti.

Menurut Ninie, pemilihan itu merupakan satu penghormatan besar dan amanah yang akan dipikul dengan penuh tanggungjawab bagi meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran serta kompetensi dalam bidang kepimpinan.

“Peluang melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkasa keupayaan diri, memperluaskan perspektif serta memperoleh pengalaman baharu yang mampu memberi nilai tambah kepada pembangunan masyarakat dan negeri Sarawak,” katanya.

Ninie turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Sarawak, Yayasan Sarawak, Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Komuniti (KPWK) serta pihak pengurusan atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan sehingga membolehkan beliau melangkah ke peringkat pengajian lebih tinggi.

Beliau turut menzahirkan penghargaan khusus kepada Datuk Gerald Rentap Jabu atas sokongan moral, dorongan serta nasihat bermakna yang banyak membantu beliau membuat persiapan bagi melanjutkan pengajian.

Majlis penyampaian surat tawaran biasiswa itu turut disaksikan oleh Premier Sarawak bersama Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah serta barisan tetamu kehormat yang hadir memeriahkan sambutan tersebut.

Pada majlis sama, Ninie berpeluang mengadakan sesi ramah mesra bersama kepimpinan AWLUC, termasuk Tan Sri Zarinah Anwar dan Naib Canselor, Prof. Dr. Sushila K. Chang di reruai pameran universiti berkenaan.

Beliau menyifatkan peluang mengikuti pengajian di institusi berkenaan sebagai platform terbaik untuk mengasah potensi kepimpinan, membina rangkaian profesional serta menimba pengalaman dalam persekitaran akademik bertaraf antarabangsa.

Penerimaan Biasiswa Yayasan Sarawak itu bukan sekadar satu pencapaian akademik peribadi, malah menjadi bukti bahawa anak-anak Sarawak, termasuk daripada komuniti luar bandar, mampu bersaing dan cemerlang apabila diberikan peluang serta sokongan sewajarnya.

Bagi Ninie, kejayaan tersebut membawa tanggungjawab yang besar untuk membawa pulang ilmu, pengalaman dan nilai kepimpinan yang diperoleh sepanjang pengajian nanti agar dapat dimanfaatkan demi pembangunan masyarakat, memperkasa wanita serta menyumbang kepada kemajuan Sarawak pada masa hadapan.

Oleh Adi Safarman

UIAM cadang tubuh kampus di Sarawak

PETRA JAYA: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mencadangkan penubuhan kampusnya di Sarawak sebagai langkah strategik untuk memperkukuh pembangunan modal insan bernilai

FTES bukti komitmen Sarawak perkasa pendidikan

DARO: Pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) membuktikan komitmen kerajaan Sarawak dalam memastikan setiap anak Sarawak yang berkelayakan berpeluang