
TOKYO: Mata wang yen Jepun mencatatkan paras terendah baharu dalam tempoh 39 tahun apabila melepasi paras 162 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semalam, di sebalik kebimbangan pemain pasaran terhadap kemungkinan campur tangan oleh pihak berkuasa Jepun untuk mengekang kejatuhan yen, lapor Agensi Berita Kyodo.
Mata wang Jepun itu menyusut ke zon pasaran lebih rendah 162 di Tokyo, mencatatkan paras terendah sejak Disember 1986, di tengah-tengah jangkaan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS tahun ini. Aktiviti penjualan yen turut melonjak pada satu ketika berikutan tindakan pengimport domestik membeli mata wang dolar AS.
“Terdapat pandangan yang semakin berkembang bahawa adalah sukar untuk yen bersaing dengan dolar AS sekiranya Fed meneruskan kenaikan kadar faedah,” kata penyelidik kanan di Gaitame.com Research, Takuya Kanda.
Walaupun Menteri Kewangan Jepun Satsuki Katayama memberi amaran pada awal hari berkenaan bahawa kerajaan “sentiasa” bersedia untuk mengambil tindakan jika perlu susulan kejatuhan nilai yen terhadap dolar AS, pasaran mata wang dilihat tidak menunjukkan banyak reaksi.
Menurut Ketua Ahli Strategi Pasaran di Sumitomo Mitsui DS Asset Management Co., Masahiro Ichikawa, nilai yen kini berada pada tahap yang mana campur tangan bukannya sesuatu yang menghairankan.
“Jika kejatuhan yen semakin pantas bermula dari sekarang, kebarangkalian untuk berlakunya campur tangan akan meningkat secara signifikan,” katanya. – Bernama