CANTIK… Juliana Jumpap memakai kain sulaman tangan dan Marik Empang serta menunjukkan kraf tangan sulaman tangan yang dihasilkannya.
SULAMAN benang atau sulaman tangan mempunyai nilai tersendiri kerana keunikannya dan ketelitian dalam penganyamannya.
Malah negara-negara barat mengangkat sulaman tangan ini sebagai hasil tenunan tangan yang diminati ramai.
Bukan sahaja mahir menganyam kraftangan manik tradisional masyarakat Iban, Juliana Jumpap turut mahir menganyam kraftangan sulaman tangan.
Juliana berusia 44 tahun dan merupakan seorang suri rumah, mempunyai tiga orang cahaya mata, berasal dari Kanowit dan kini menetap di Jalan Paris Height 2, Bintangor.
Kraftangan sulaman tangan yang dihasilkan oleh Juliana sangat menarik dan memukau hati yang memandangnya.
Juliana berkata, dia mula tertarik untuk belajar menganyam kraftangan sulaman tangan bermula sejak 20 tahun lalu.
“Antara kraftangan sulaman tangan yang saya hasilkan ialah baju lelaki tradisonal masyarakat Iban, beg sulaman tangan, selampai sulaman tangan dan sebagainya.
“Tempoh masa untuk saya menyiapkan satu kraftangan sulaman tangan yang bercorak ringkas lebih kurang sebulan,” katanya kepada Utusan Sarawak.
Katanya, dia mengasah minat lebih mendalam untuk menghasilkan kraftangan sulaman tangan dengan mula menyertai kumpulan sulaman tangan di aplikasi Whatsapp dan Facebook.
“Saya mempelajari sulaman tangan bagi menghasilkan kraftangan sulaman tangan seperti baju lelaki tradisional masyarakat Iban, beg dan selampai di WhatsApp dan Facebook bermula 10 tahun lalu.
“Kraftangan sulaman tangan yang saya hasilkan turut mendapat permintaan dikalangan pembeli,” ujarnya.
Menurutnya, ada yang membeli untuk dijadikan sebagai koleksi dan dijadikan sebagai cenderamata.
“Selampai sulaman tangan yang telah siap saya jual dengan harga berdasarkan saiz, jenis benang dan corak.
“Manakala sulaman tangan baju tradisional masyarakat Iban, saya tidak pernah menjual yang telah siap sepenuhnya, hanya menjual yang sudah ditanda iaitu dalam lingkungan RM150 hingga RM250.
“Bagi selampai sulaman tangan yang ditanda, harga dalam lingkungan RM50 hingga RM60.
“Ada juga baju lelaki tradisional masyarakat Iban dan kain sulaman tangan yang telah saya siapkan sepenuhnya dan kos membuatnya amat tinggi iaitu lebih kurang RM400 kerana corak yang dianyam adalah penuh serta menggunakan benang emas,” katanya lagi.
Jelasnya, tempoh masa enam bulan diperlukannya menyiapkan sulaman tangan baju lelaki tradisional masyarakat Iban.
“Buat masa ini saya masih menumpukan perhatian kepada kraftangan manik tradisional kerana banyak pemintaan dari pembeli.
“Saya perlu menyiapkan tujuh kraftangan tradisional Marik Empang sebelum Hari Gawai Dayak tahun ini.
“Empat orang pembeli dari Bintulu dan tiga orang pembeli dari Miri telah meminta saya membuat Marik Empang untuk digunakan oleh mereka semasa Hari Gawai Dayak,” katanya.
Oleh EARL ANEK