 
                
TAHNIAH kepada Reagan Niru, penulis cerpen “Menyulam Harapan di Tanah Dara” kerana menghasilkan sebuah karya yang mengandungi sesuatu yang bermakna kepada masyarakat. Karya yang dihasilkan bukan permainan kata-kata semata-mata, tetapi menyampaikan sesuatu kepada khalayak.
Tujuan penulis menghasilkan karya sastera ini sesuai mendukung makna seni untuk masyarakat. Melalui karya, penulis jelas membawa mesej berat kepada pembaca yang boleh menjadi teguran, kritikan, panduan nilai dan mengajak masyarakat berfikir tentang sesuatu yang berlaku di sekeliling. Sejak awal cerpen penulis telah membawa mesej pencemaran alam seperti berikut;
SETIAP kali bermulanya bulan Ogos, jerebu akibat pembakaran untuk pertanian semakin menebal, menyelubungi udara kampung kami. Aku selalu merasakan kesukaran bernafas, dada terasa berat, seolah-olah asap itu menyusup ke dalam tubuh. Aku cuba menarik nafas yang lebih dalam, namun tetap terasa sesak. Aku duduk di tepi rumah, memandang kampung yang dibaluti kabut kelabu. Dari jauh, hanya kelihatan siluet rumah dan pohon-pohon yang kelihatan hampir terbungkus dalam kabus. Hati aku terasa sunyi, seolah-olah kampung ini turut merasai apa yang aku alami.
Penulis mampu bercerita dengan baik pada bahagian permulaan cerpen, mengisahkan tentang jerebu dan huraiannya sungguh padat dengan mesej, emosi dan kesan rasa deria manusia.
Penulis menghuraikan tentang punca dan kesan dalam gaya kreatif dan mampu membezakannya dengan gaya rencana apabila menggunakan sudut pandangan orang pertama.
Penulis secara langsung menyatakan bahawa jerebu itu adalah berpunca daripada pembakaran untuk tanah pertanian. Pembukaan tanah untuk pertanian ialah keperluan hidup, dan persoalan yang dikemukakan oleh penulis merupakan satu kritikan masyarakat, iaitu tentang pembakaran yang membawa kesan kepada pencemaran udara. Adakah pembakaran ini ‘dihalalkan’ dan masyarakat tidak perlu ambil kisah tentang pembakaran tersebut?
Penulis menggunakan watak ‘Aku’ untuk mewakili masyarakat yang terkesan oleh pembakaran tersebut apabila menyebabkan “Aku” sukar bernafas dan seluruh tubuhnya seolah-olah sudah dimasuki asap.
Keadaan ini satu kritikan penulis terhadap pencemaran udara akibat daripada pembakaran terbuka yang mengancam keselamatan penduduk yang diwakili oleh ‘Aku’.
Kesimpulan ayat perenggan pendahuluan cerpen ini menjadi lebih mantap apabila penulis menceritakan keadaan seluruh kampung seperti dibungkus kabus asap, menandakan bahawa tidak ada lagi ruang di kampung itu yang selamat daripada kesan asap tersebut.
Kemudian penulis bercerita tentang nostalgia kehidupan dahulu ketika pak ciknya berhuma. Penulis juga mengkritik tentang watak ‘Pak Cik’ yang sesuka hati menebas hutan dara untuk menanam padi bukit sehingga dia menegur perbuatan ‘Pak Cik’.
Tegurannya yang dibalas dengan senyuman juga merupakan sebuah kritikan penulis terhadap sikap manusia yang menganggap perbuatan memusnahkan pokok-pokok itu bukanlah suatu kesalahan.
Pandangan inilah yang cuba diutarakan oleh penulis dalam cerpennya – tentang pandangan ringan manusia terhadap kemusnahan alam yang akhirnya menerima kesan daripada perbuatan tersebut.
Selain itu, penulis juga menyampaikan mesej dan nilai untuk menghargai alam sekitar. Bagi penulis, sewajarnya manusia menjaga alam sekitar dan tidak menebang pokok-pokok seperti dilakukan oleh ‘Pak Cik’ . Penulis amat sayang akan alam sekitar sehingga dia terluka oleh kemusnahan yang berlaku;
Aku terluka melihat tanah yang semakin tandus, kemarau yang panjang, dan sumber air kami yang semakin menipis. Ternyata, dalam usia kecil itu, aku tidak dapat memahami alasan di sebalik setiap tindakan Pak Cikku. Aku melihat alam dengan pandangan yang penuh rasa bimbang, tapi Pak Cikku hanya tersenyum.
Penulis juga menyatakan bahawa dia tidak mahu untuk terus hidup di kampung dengan perbuatan memusnahkan alam. Oleh yang demikian, penulis berhasrat untuk keluar daripada keadaan tersebut dengan berhijrah ke bandar. Dalam hal ini, terkait kemusnahan alam yang tidak disukai oleh penulis itu mempengaruhi hidupnya agar tidak terlibat dengan agenda kemusnahan hutan.
Aku berjanji pada diriku sendiri, bahawa setelah tamat sekolah menengah, aku akan meninggalkan kampung dan bekerja di bandar. Hidupku tidak akan terikat pada tanah dan keringat. Aku ingin kehidupan yang lebih baik, yang lebih moden.
Seterusnya, penulis menimbulkan persoalan tentang alam pekerjaan. Golongan muda sepertinya sukar mendapatkan pekerjaan seperti keinginannya untuk bekerja di bandar.
Namun, kehidupan tidak seperti yang aku bayangkan. Selepas tamat persekolahan pada tahun 2007, aku menghantar resume ke pelbagai syarikat, mengharapkan peluang pekerjaan yang lebih baik. Aku menggunakan motosikal tua Yamaha SS2 milik bapaku, tidak memilih pekerjaan, asalkan ada peluang untuk belajar dan berkembang. Aku turut menghadiri temu duga terbuka PDRM di Dewan Suarah Kuching seawal jam 4 pagi bersama-sama ratusan manusia.
Kegagalan mendapat sebarang pekerjaan di bandar menyebabkan ‘Aku’ kembali ke kampung. Plot cerita sudah bertukar arah daripada pejuang alam kepada penerokaan alam.
Penulis seolah-olah menyampaikan kritikan bahawa manusia itu berubah apabila tidak tahan dengan rintangan. Kegagalan mendapatkan pekerjaan di bandar sepertimana cita-citanya telah mengubah pendirian seseorang daripada cinta akan alam sekitar kepada turut bersama-sama melakukan kerja-kerja yang dianggapnya tidak betul suatu ketika dahulu.
Lantas dia teringat semula kata-kata Pak Ciknya, “Kamu akan faham suatu hari nanti”. Perubahan sikap watak ‘Aku’ merupakan satu kritikan terhadap masyarakat yang terpaksa melakukan apa-apa sahaja untuk keuntungan hidup, termasuklah memusnahkan alam. Keadaan ini diceritakan oleh penulis seperti berikut;
Dengan tekad baru, aku memulakan langkah pertama. Tanah yang kosong itu seolah-olah memanggil, memberi peluang untuk kehidupan yang lebih bermakna. Aku menebang pokok-pokok kecil dan besar, mengorbankan tenaga dan waktu. Walaupun tubuh terasa lemah dan letih, aku terus bekerja. Setiap kali aku merungut, bayangan Pak Cikku yang kuat, yang tidak pernah mengeluh, kembali dalam fikiranku. Kata-katanya “Kamu akan faham suatu hari nanti,” berulang lagi, memberi semangat walaupun ada ketikanya aku rasa mahu menyerah.
Petikan ini jelas menunjukkan perubahan pendirian watak ‘Aku’ apabila menyatakan bahawa dia menebang pokok-pokok kecil dan besar. Perbuatan ini dilakukan oleh Pak Ciknya dahulu yang dia tegur tetapi kini dilakukan olehnya sendiri.
Keadaan ini membuktikan bahawa penulis melalui watak ‘Pak Cik’ dan ‘Aku’ mewakili sebahagian manusia yang lain memusnahkan alam untuk kelangsungan hidup atau keuntungan semata-mata seperti persoalan yang dikemukakan oleh penulis pada awal cerpen.
Penulis bercerita lanjut tentang perubahan pendirian dan sikap watak ‘Aku’ apabila dia sendiri turut membakar sisa hutan dan dibantu oleh kaum keluarga dan saudara-maranya.
Keadaan ini merupakan suatu kritikan bahawa manusia sudah menghalalkan aktiviti kemusnahan alam dan menganggapnya sebagai bukan lagi kesalahan ketika aktiviti itu dilakukan untuk keperluan pertanian secara beramai-ramai;
Setelah beberapa minggu, pokok-pokok yang telah ditebang dibiarkan mengering sebelum aku bakar, diikuti pula masa untuk menugal dan menanam benih padi. Nenekku yang sudah berusia, tetapi masih bersemangat, turut membantu. Kami saling bekerja dengan semangat yang tinggi. Pada hari itu, ramai saudara-mara datang pingirih bersama-sama dengan kami. Kami bekerja dalam semangat gotong-royong, menyelesaikan kerja dalam beberapa jam sahaja. Semangat pingirih yang diwarisi turun-temurun mengikat kami sebagai satu komuniti yang kuat.
Lebih menarik lagi, penulis bercerita tentang pengakuan watak ‘Aku’ yang menganggap perbuatannya sekarang bukan lagi sebuah kesalahan, sebaliknya merupakan sebuah pengakuan tentang hubungan rapatnya dengan tanah;
Minggu demi minggu berlalu, dan benih-benih padi yang ditanam mula menunjukkan tunasnya. Melihat pertumbuhan yang perlahan namun pasti itu, aku merasa seolah-olah kehidupan baru sedang bermula dalam diriku. Setiap rumput yang aku cabut, setiap batang padi yang aku baja, memberi aku rasa kedamaian dan kepuasan yang mendalam. Proses itu bukan sekadar pekerjaan, tetapi sebuah ikatan dengan alam dan tanah yang memberi rezeki. Setiap helaian daun yang tumbuh subur, aku semakin merasakan hubungan aku dengan tanah ini semakin kuat, seolah-olah aku adalah sebahagian darinya.
Penambahbaikan
Cerpen ini menarik apabila dilihat dari sudut nilai, mesej dan persoalan yang disampaikan oleh penulis. Namun, jika dilihat dari perspektif struktur cerpen, karya ini perlu penambahbaikan untuk membentuk struktur cerita yang kemas dan padat serta berfokus.
Jika dilihat pada awal cerita, pengutaraan masalah atau konflik sudah terhidang jelas tetapi apabila menelusuri jalan cerita, terlalu banyak simpang jalan yang menyebabkan cerita tidak lagi terbentuk pada satu jalur yang kukuh.
Cerpen terbaik ialah cerpen yang fokus pada satu jalur cerita dan kepada satu tema dan persoalan yang berkaitan. Dalam cerpen ini, penulis fokus kepada lebih daripada satu jalur cerita, iaitu jalur kemusnahan alam, jalur sejarah hidup dan jalur mencari pekerjaan.
Pada bahagian awal, jelas bahawa jalur cerita adalah tentang kemusnahan alam yang sewajarnya diselesaikan dengan klimaks dan penyudah cerita pada bahagian peleraian.
Ini yang sepatutnya dilakukan oleh penulis. Sebaliknya, penulis telah memasukkan banyak perkara yang berulang dan membina persimpangan cerita baharu yang kemudian menyebabkannya kelihatan seperti berpenggal-penggal.
Jika dilihat pada bahagian peleraian cerita, jelas sekali bahawa cerita pada bahagian ini terarah berbeza dengan perenggan awal dan peryataan konflik cerita;
Seperti yang pernah Pak Cik katakan kepadaku suatu masa dahulu, “Kamu akan faham suatu hari nanti.” Kini, aku faham apa yang beliau maksudkan. Jalan yang aku pilih, walaupun nampak berbeza dengan apa yang aku bayangkan sebelum ini, sebenarnya adalah jalan yang membawa aku kepada pemahaman yang lebih mendalam tentang kehidupan. Apa yang aku cari selama ini bukanlah sesuatu yang jauh di luar sana, tetapi ia ada di sini, dalam diri aku sendiri dan dalam apa yang aku lakukan setiap hari. Aku kini lebih menghargai peluang yang datang dan lebih bersedia untuk menjadikannya sesuatu yang bermakna, kerana aku tahu bahawa setiap perjalanan hidup ini mempunyai hikmahnya yang tersendiri.
Cerpen merupakan cerita pendek yang padat. Oleh yang demikian, penulis sewajarnya tidak memanjangkan bahagian yang kurang berkaitan terutamanya bahagian yang tidak melibatkan perkembangan plot.
Penceritaan yang berulang dan berjela-jela hendaklah dielakkan dalam mendukung makna ‘cerita pendek dan padat’. Hal ini boleh dirujuk kepada beberapa perenggan, antaranya;
Pada suatu malam, selepas seharian bekerja keras di huma, aku tidur dengan perasaan yang lebih tenang dan puas. Walaupun tubuhku letih, hati ini terasa ringan, seolah-olah segala usaha yang aku lakukan hari itu memberikan ketenangan yang sukar dijelaskan. Keesokan harinya, ketika aku sedang memulai hari yang baru, telefonku berdering. Aku mengangkatnya tanpa berfikir panjang, namun terkejut apabila mendengar suara di hujung talian yang memberitahuku tentang tawaran pekerjaan.
Kesimpulannya, cerpen ini menarik dan bermakna kerana mengandungi nilai, mesej dan persoalan yang penting untuk kepentingan masyarakat, sesuai dengan kalimat seni untuk masyarakat.
Penulis juga boleh menyampaikan ceritanya dengan bahasa menarik dan mudah difahami. Namun penulis perlu mengambil perhatian dari segi bentuk dan struktur sebuah cerita, agar rumah cerita nampak berdiri kukuh di bawah struktur dan bumbung yang sama.
Oleh Mohd Ali bin Salim