Oleh Mohidin Haji Malek
SEBAHAGIAN daripada manusia memiliki kecenderungan untuk berkongsi pengalaman atau menceritakan sesuatu peristiwa yang telah mereka lalui, sama ada secara lisan, mahupun tulisan. Bagi yang memilih pendekatan untuk bercerita secara bersemuka, hal sedemikian memberikan suatu kepuasan, apatah lagi apabila rentetan pengalaman yang disampaikan kepada pendengar atau audiens mendapat respons yang diharap-harapkan. Bagi sesetengah yang lain pula, kaedah atau pendekatan yang diambil adalah secara menintakan peristiwa yang dilalui dalam bentuk tulisan kreatif, sama ada dalam bentuk puisi, cerpen, novelet mahupun novel.
Dalam konteks penceritaan lewat penghasilan karya, genre yang dipilih bergantung pada keselesaan dan kebijaksanaan pengkaryanya dalam melakar jalan cerita menggunakan sulaman kata-kata serta pembentukan struktur ayat-ayat indah yang mampu menarik minat khalayak penatap atau pembacanya. Bagi kalangan yang lebih gemar berkias dan menyulam siratan makna, mereka lebih cenderung untuk memilih genre puisi, khususnya sajak. Persepsi tipikal bahawa sajak bersifat ringkas di samping mencabar keupayaan penulis untuk ‘bereksperimen’ dengan permainan kata-kata, melahirkan keterujaan kebanyakan bakal penulis, khususnya dalam kalangan remaja untuk cuba berjinak-jinak dalam genre ini.
Daripada pemerhatian secara umum, kebanyakan karya yang dihasilkan oleh golongan remaja berkisar sekitar alam percintaan. Walaupun terdapat dalam kalangan mereka yang mengetengahkan isu kemasyarakatan, pendidikan, budaya dan seumpamanya lewat karya mereka, namun, bilangannya amat sedikit. Hal sedemikian merupakan situasi yang lumrah kerana pada peringkat usia sedemikianlah terbukanya pintu kamar percintaan, suatu ruang lingkup yang dipenuhi dengan kegembiraan, kemanisan, keindahan, pun juga kedukaan, kepahitan dan kejelikan. Bukan hanya golongan remaja sahaja yang lazimnya terbuai oleh keasyikan sentuhan cinta. Malah, golongan ‘remaja purba’ dan ‘warga emas’ pun, kadang-kadang mampu hanyut dalam arus percintaan. Situasi sebegini lantas membangkitkan keterujaan untuk menghasilkan sajak secara tiba-tiba, bagi meluahkan apa-apa yang terpendam dan terbuku dalam nubari. Memang tepatlah apa-apa yang diperkatakan oleh Plato, iaitu, “At the touch of love, everyone becomes a poet.” yang terjemahannya adalah “Sentuhan cinta menjadikan semua orang penyajak”.
Namun demikian, untuk menghasilkan sesebuah sajak tidak semudah seperti yang difikirkan. Sajak bukan sekadar luahan pengalaman penulis. Pun bukan sekadar rakaman tentang apa-apa yang dilihat atau dihadapi. Sajak lebih kompleks sifatnya daripada hal yang dinyatakan itu. Sajak harus mengandungi unsur ‘penitipan’ perasaan dan untuk menitip perasaan dalam sesebuah sajak bukan perkara senang. Hal yang sedemikian itu menagih penghayatan serta penjiwaan yang mendalam. Cakupannya bukan sekadar terbatas dalam konteks sisi pandangan mata pandang, akan tetapi menerjah jauh ke lubuk nubari. Keupayaan menitip unsur penjiwaan dalam karya bukan suatu anugerah yang ada pada semua insan. Namun demikian, kemahiran berkenaan mampu dipupuk serta dikuasai. Akan tetapi, pembentukan serta penguasaan kemahiran tersebut memakan tempoh masa yang amat panjang. Jika kita baca dan hayati sajak penulis yang tersohor, apa-apa yang diluahkan lewat sajak mereka menagih penaakulan yang mendalam pembacanya. Untuk memahami apa-apa yang tersirat di sebalik bait-bait yang terjalin, menagih pembacaan yang berulang. Hal yang sedemikian inilah berupa salah satu keunikan genre ini, iaitu nilai estetik yang dicitrakan lewat stail, pemilihan diksi, pengungkapan, keselarasan, dan unsur utama, pemikiran dan falsafah yang tersirat sebalik setiap penceritaan.
Namun demikian, sepanjang penelitian yang dilakukan, aspek keterujaan menghasilkan sesebuah karya sering membiaskan kanta pandang penulis baharu khususnya, tentang aspek-aspek atau komponen-komponen penting seperti dinyatakan di atas yang harus diberikan perhatian dalam arena kepenulisan dan dalam ruang lingkup pembicaraan wadah ini, genre sajak. Walaupun berulang kali diperkatakan pengulas-pengulas dalam wadah sebegini, akan tetapi hal berkenaan seakan-akan terlepas daripada pandangan atau kurang diambil perhatian oleh sebahagian besar daripada kalangan penyumbang karya. Hal yang sebegini berkemungkinan besar disebabkan sama ada pengkarya kurang memahami apa-apa yang diutarakan ataupun inti pati yang dilontarkan pengulas tidak kesampaian. Seandainya hal sedemikian berlaku, hasrat ke arah pembinaan bakat penulis baharu, besar kemungkinan, tidak akan terzahir. Lantas, seboleh-boleh dan semuluk-muluknya giatkan usaha untuk sama ada menggali lebih dalam lagi lombong pengetahuan tentang genre sajak melalui kaedah atau pendekatan menelaah bahan bacaan yang bersesuaian mahupun mengikuti bengkel-bengkel penulisan yang dianjurkan oleh pihak yang berwibawa. Memetik kata-kata Stephen King, “Seandainya anda ingin menjadi penulis, anda perlu melakukan dua perkara mengatasi perkara-perkara lain, banyak membaca dan perbanyak hasil tulisan”.
Dalam ruangan ini pada minggu lalu, telah disiarkan tiga buah puisi, iaitu “Terima Kasih Keranda” karya Bandang Anak Galayan, “Sepetang”, tulisan Dayang Maslina dan “Hidangan di Pinggan Retak” oleh Norizan Ramli. Ketiga-tiga penulis mengetengahkan persoalan yang berbeza.
Lewat “Terima Kasih Keranda”, penulisnya menyentuh tentang persoalan cinta. Sebelum memperkatakan lebih lanjut tentang karya ini, seperkara yang ingin dikongsi bersama, iaitu pemilihan tajuk sesebuah karya. Tajuk sesebuah karya berupa manifestasi pengkarya. Lantaran itu, keterkaitannya perlu di samping mengekalkan unsur ketertiban dan nilai estetiknya. Selain daripada itu, tajuk menjadi unsur pancingan untuk menarik perhatian khalayak pembaca. Dalam konteks ini, tidak dinafikan bahawa tajuk sajak ini menimbulkan keterujaan kepada khalayak pembaca, namun secara hemahnya, terpapar citra yang ‘kurang enak’ bagi sesetengah khalayak disebabkan perkataan “keranda” yang memiliki tautan rapat dengan kematian. Hakikat ini menimbulkan pelbagai persepsi yang agak negatif sifatnya. Lantas, dalam hal sebegini, disarankan agar pada masa-masa akan datang, hal berkenaan diambil perhatian oleh pengkarya sajak ini.
Secara ringkas, lewat sajak ini, saudara Bandang meluahkan kekecewaannya akibat terputusnya hubungan dengan seseorang yang dicintai atau kekasih. Rentetan itu, segala ingatan terhadap individu berkenaan ‘dikuburkan’ dalam ‘keranda jiwa’ penulisnya. Berkemungkinan, ‘peranan’ keranda jiwa yang ‘memenjara’ segala kenangan pahit membuat penulisnya merakamkan ‘penghargaan’ terhadap ‘keranda jiwanya’.
Secara keseluruhannya, terlihat usaha saudara Bandang untuk menerbitkan nilai estetik dalam karyanya. Namun demikian, dari segi kesepaduan pemikiran, susunan rangkap dan baris, struktur ayat, serta pemilihan diksi, terkesan ruang untuk penambahbaikan. Sebagai contoh, baris keenam dan ketujuh, “entah kenapa dia memanggil aku kerana, adakah aku sekujur seperti larung”. Dalam dua baris berkenaan, unsur kepuitisannya tidak terserlah. Ungkapan yang dilontarkan bersifat biasa, manakala pemilihan kata “larung” atau keranda untuk mentamsilkan seseorang agak kurang persis dan tidak ‘manis’ pada pandangan mata umum. Manakala dalam baris seterusnya pula, dinukilkan sebegini, “mengurung kejur jasad terkubur,” yang menimbulkan persoalan, jasad siapa? Baris seterusnya pula memperlihatkan putusnya kesinambungan penceritaan.
Situasi yang serupa berulang dalam rangkap yang seterusnya yang mampu mengakibatkan khalayak kehilangan arah atau fokus akan ‘pengisahan’ yang ingin disampaikan, di samping ‘memendapkan’ unsur penjiwaan sepenuhnya. Bukan bermakna bahawa sajak ini tidak bermutu, akan tetapi karya ini memerlukan penambahbaikan untuk mentransformasikannya menjadi sebuah sajak yang benar-benar kuat.
Lewat sajak “Sepetang”, saudari Dayang Maslina @ Puteri Benak pula membicarakan tentang ‘gelora’ rasa yang melanda pada suatu petang. Pada detik masa yang hanya Dayang Maslina sendiri lalui, tergugat emosi yang terbit daripada ‘kebuntuan’ akal fikir dalam perencanaan mendepani kehidupan yang penuh dengan cabaran. Suatu situasi yang biasa dihadapi oleh kebanyakan orang.
Sajak ini amat mudah untuk dimengerti. Pun tidak terkesan akan unsur pemikiran yang mampu dijadikan pegangan, panduan serta pedoman dalam mendepani kehidupan. Walaupun baris terakhir, Dayang Maslina menintakan “iman membatas segala”yang ditafsirkan untuk membawa pengertian bahawa keimanan yang kental berupa ‘pengawal’ perilaku atau tindakan seseorang, namun, cara pengutaraannya mampu disalahertikan sebagai iman ‘menyekat’ perlakuan manusia, baik yang bersifat positif mahupun yang bersifat negatif. Pemilihan kata “membatas” dan “mengawal” membawa pengertian berbeza yang seandainya disalahtafsirkan, mampu menimbulkan persoalan dan polemik dari sisi agama. Lantaran, dalam konteks pemilihan diksi, sikap berhati-hati adalah dituntut. Seperti halnya dengan sajak pertama, masih ada ruang bagi saudari Dayang Maslina untuk membuat penambahbaikan dan pemurnian.
Sajak ketiga yang berjudul “Hidangan di Pinggan Retak” oleh Norizan Ramli menampilkan persoalan yang berbeza. Penulis melihat sudut masalah sosial yang berlaku, khususnya ‘pengorbanan’ bagi mendepani desakan kehidupan yang semakin meruncing. Soal menagih ihsan atau simpati bagi mendapatkan ‘bantuan’ bagi meneruskan kelangsungan hidup. Persoalan inilah yang diketengahkan penulisnya lewat sosok wanita tua jalanan yang ‘menagih’ simpati pejalan kaki yang lalu lalang. Paparan sedemikian sememangnya lazim terpapar dalam sketsa kehidupan manusia, apatah lagi dalam situasi kemelut negara, dan malah dunia, berhadapan dengan kesan penularan endemik COVID-19.
Secara tidak langsung, sajak ini menimbulkan persoalan dalam minda khalayak pembaca sama ada perbuatan ‘mengemis’ berupa pendekatan yang wajar untuk meneruskan kelangsungan hidup? Tidak adakah kaedah lain yang lebih baik? Di sebalik itu, salahkah perbuatan sedemikian apabila kudrat semakin luntur di samping hilangnya tempat berpaut? Dalam konteks ini, mesej yang ingin dilontarkan penulis lebih terarah kepada pihak berwajib yang sewajarnya mengambil perhatian serius serta prihatin terhadap nasib golongan yang memerlukan bantuan seperti sosok yang ditampilkan lewat sajak ini.
Seandainya ditaakulkan secara mendalam, sajak ini menyirat pengertian yang amat mendalam. Namun demikian, dari segi pengolahannya, penulis masih mempunyai ruang untuk mengindahkan karya beliau lewat pemilihan diksi-diksi yang sesuai dan pengolahan baris yang teratur serta pembinaan ayat yang mengesankan. Sekadar sebagai contoh, baris ketiga dan keempat pada rangkap pertama yang dinukilkan, “tergaris senyum di bibir pucat, seakan memujuk mereka menoleh” kurang persis dan gramatis. Kata “tergaris” yang dipadankan dengan “senyum”, dalam konteks ini kurang puitis. Perkataan “seakan”, jika dibuat rujukan dalam kamus, tidak wujud. Perkataan yang persis, “seakan-akan” yang membawa pengertian ‘seperti’ atau ‘seolah-olah’. Sebagai cadangan, baris-baris berkenaan boleh diubah suai menjadi, “kuntum senyuman menyirat pujuk”.
Baris pertama dan kedua pada rangkap kedua yang dinukilkan, “hanya ketika tiada siapa berjalan, si tua itu menadah tangan” menimbulkan persoalan sama ada tindakan menadah tangan ketika tiada sesiapa pun yang berlalu menggambarkan perbuatan ‘mengadu’ kepada Yang Maha Esa atau suatu refleks yang terbit daripada tabii lazim seseorang ‘peminta sedekah’? Hal yang sedemikian, waima kelihatan remeh, akan tetapi mampu merencatkan keindahan sesebuah puisi.
Secara umumnya karya-karya yang ditampilkan oleh ketiga-tiga penulis ini memenuhi kriteria sesebuah sajak, akan tetapi masih terkesan beberapa ruang atau kelompangan yang boleh dibaiki dan dimurnikan agar terhasil sajak yang kuat serta mampu ‘mengocak’ serta menyentuh nubari khalayak pembaca. Dalam dunia pengkaryaan, kepuasan menghasilkan karya hanya dapat dirasai apabila khalayak dapat merasai dan menjiwai keindahan yang diserlahkan. Bagi seseorang yang kuat daya imaginasinya, akan dapat digambarkan betapa perasaan sang penulis ketika melahirkan sesebuah puisi berkenaan. Puisi yang indah mampu membuat pembaca menangis, ketawa, terkedu, insaf, teruja, tercabar dan bertafakur. Namun, jika sebuah puisi kurang bertenaga, pembaca tidak akan dapat merasai apa-apa. Kosong. Apa yang tertulis cuma sekadar kata-kata yang membentuk rangkap-rangkap. Tidak lebih daripada itu.
Kepada ketiga-tiga penyumbang, tahniah dan syabas. Usah patah semangat. Berkaryalah sebanyak yang mampu. Hal sedemikian berupa latihan yang terbaik. Semoga anda semua berjaya dalam genre penulisan sajak.