KUALA LUMPUR: Nilai eksport sawit Malaysia pada tahun ini dijangkakan berjumlah di antara RM65 bilion dengan RM70 bilion berbanding RM63.73 bilion pada 2019.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, meskipun Covid-19 melanda dunia, prestasi komoditi sawit menunjukkan peningkatan.
“Kita juga akan mempergiat pemasaran sawit ke India Tengah serta negara-negara (yang menjadi pasaran) baharu,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat semalam.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh) mengenai perbandingan pendapatan eksport minyak sawit Januari hingga Jun serta jangkaan jumlah pendapatan eksport minyak sawit bagi 2020.
Bagi perangkaan nilai eksport minyak sawit untuk tempoh Januari hingga Jun 2020, Mohd Khairuddin berkata berdasarkan data yang dikeluarkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia, nilai eksport adalah RM21.16 bilion berbanding RM20.06 bilion pada tempoh sama 2019.
Beliau berkata nilai eksport keseluruhan sawit untuk tempoh Januari hingga Jun 2020 adalah sebanyak RM32.47 bilion berbanding RM31.91 bilion bagi tempoh yang sama tahun lepas.
Mengenai soalan Kok berkaitan impak pembekuan pengambilan pekerja asing ke atas sektor komoditi, Mohd Khairuddin berkata dalam keadaan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kadar pengganguran meningkat disebabkan kesan Covid-19, pemberian kerja di ladang perlu mengutamakan rakyat tempatan.
“Kita berusaha untuk meningkatkan prestasi dan hasil komoditi, terutama sawit dan pada masa sama kekal optimistik dengan jangkaan nilai eksport,” katanya.
Beliau berkata, usaha promosi minyak sawit merah turut ditingkatkan bagi menggalakkan pengambilannya dalam kalangan pengguna memandangkan kelebihan untuk manfaat kesihatan.- Bernama