KUCHING: Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 (PCDS) 2030 berhasrat untuk menjadikan masyarakat di negeri ini berupaya berkembang maju dengan didorong oleh data dan inovasi bagi memastikan semua rakyat dapat menikmati kemakmuran ekonomi serta keterangkuman sosial dan alam sekitar yang mampan.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, dengan itu Sarawak perlu menggandakan ukuran ekonomi daripada RM136 bilion pada 2019 kepada RM282 bilion menjelang 2030.
“Untuk mencapai sasaran ini, ekonomi Sarawak perlu berkembang secara purata 6.0 peratus hingga 8.0 peratus setahun sehingga 2030. Masyarakat yang inklusif bermaksud bahawa semua rakyat akan mempunyai peluang yang sama mengambil bahagian dalam pembangunan keseluruhan negeri dan menikmati pengagihan kekayaan yang adil melalui pekerjaan dan peluang perniagaan.
“Kelestarian alam sekitar merupakan sebahagian daripada inisiatif pembangunan Sarawak. Ini untuk memastikan persekitaran yang bersih dan sihat bagi generasi akan datang.
“Malah, Sarawak akan berinovasi menggunakan data untuk meningkatkan produktiviti mengembangkan produk bernilai tinggi, selain keselamatan pekerja serta usaha pemuliharaan alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 (PCDS) 2030 di Hotel Pullman, Kuching semalam,
Abang Johari berkata, objektif utama PCDS 2030 adalah mengubah struktur ekonomi, memodenkan dan meningkatkan kecekapan, meningkatkan pendapatan isi rumah kepada bahagian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekali gus meletakkan kelestarian alam sekitar dalam usaha pemulihan dan pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
Oleh JEAKQLEYN YACHO