
SIBU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh, Nicholas Kudi Jantai mengumumkan penarikan diri daripada persaingan jawatan Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) bagi memberi tumpuan kepada perebutan salah satu jawatan Naib Presiden pada Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) parti itu yang akan datang.
Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat selepas menilai pandangan ahli parti, pemimpin akar umbi serta mengambil kira keperluan semasa parti.
“Saya percaya dapat memberi sumbangan lebih berkesan di peringkat ini, di samping memberi laluan kepada ADUN Murum, Kennedy Chukpai Ugon dan ADUN Tamin, Christopher Gira Sambang untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda,” katanya dalam kenyataan media.
Menurut Nicholas, fokus beliau kini adalah memperkukuh dan memperbaharui semangat parti dengan memupuk perpaduan, mengukuhkan pasukan kepimpinan serta memastikan PRS terus bergerak seiring aspirasi rakyat.
“Saya juga menyokong usaha memberi peluang lebih besar kepada pemimpin baharu untuk memainkan peranan penting dalam parti.
“Sekarang adalah masa untuk kita bersatu dan menghidupkan semula semangat parti. Wujudnya sokongan semua ahli, saya yakin PRS dapat mara dengan kekuatan baharu serta bersedia menghadapi cabaran politik dan pembangunan pada masa depan.
“Saya dengan rendah hati memohon sokongan perwakilan pada TDC Oktober ini agar kita dapat bekerjasama memperkukuh PRS dan melangkah ke hadapan sebagai satu pasukan yang bersatu,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi pada awalnya berhasrat bertanding jawatan Ketua Pemuda, turut mengumumkan penarikan diri semalam untuk memberi tumpuan kepada perebutan jawatan Naib Presiden.
Roy menjelaskan, keputusan tersebut dibuat selepas menerima sokongan akar umbi yang lebih kuat untuk beliau bertanding jawatan berkenaan.
Dalam masa sama, beliau turut menyatakan sokongan kepada Chukpai untuk jawatan Ketua Pemuda, manakala Chukpai pula secara terbuka menyokong pencalonan Roy sebagai tanda solidariti.
Dalam pada itu, hanya Chukpai dan Gira kekal sebagai calon Ketua Pemuda PRS selepas penyandangnya, Datuk Snowdan Lawan, memilih untuk tidak mempertahankan jawatan tersebut kerana menumpukan hasrat bertanding jawatan Timbalan Presiden parti.
Oleh Akun Giman