SIBU: Seorang pemilik kedai aksesori kereta di sini hampir menjadi mangsa penipuan tender palsu bernilai RM150,000 selepas diperdaya oleh individu yang menyamar sebagai ‘wakil kerajaan’.
Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Cawangan Sibu dalam satu kenyataan hari ini berkata, mangsa membuat aduan kepada pihak mereka pada awal Disember 2024 selepas mengesyaki sesuatu yang mencurigakan mengenai tawaran tender tersebut.
“Pada mulanya, individu yang menyamar sebagai ‘wakil kerajaan’ menghubungi pengadu untuk bertanyakan aksesori yang diperlukan serta meminta jenama yang sukar didapati di pasaran.
“Walaupun pengadu memaklumkan tiada stok, suspek berjaya meyakinkan pengadu dengan menghantar Surat Setuju Terima (SST) untuk tender bernilai RM150,000,” katanya.
Menurut kenyataan itu, surat berkenaan dihantar melalui aplikasi WhatsApp, dan suspek turut mengarahkan mangsa membeli stok barangan daripada nombor telefon tertentu.
Bagaimanapun, mangsa mula curiga dengan kesahihan tender tersebut sebelum merujuk perkara itu kepada MTPN Sibu.
“Hasil semakan mendapati tender itu tidak wujud. Format surat tawaran, termasuk tandatangan ahli politik yang disertakan, didapati palsu dan merupakan taktik penipuan,” jelas kenyataan itu lagi.
Sehubungan itu, MTPN menasihatkan orang ramai, terutamanya golongan peniaga, agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran tender atau mesej palsu yang menggunakan nama kerajaan.
“Semak kesahihan tawaran, iklan, atau sebut harga dengan jabatan atau kementerian berkaitan sebelum membuat keputusan. Jangan terburu-buru atau terpengaruh dengan tawaran yang kelihatan menarik tetapi mencurigakan,” tambah kenyataan itu.
MTPN turut menggesa orang ramai membuat aduan sekiranya berdepan situasi mencurigakan, selain menegaskan pihaknya sedia membantu mencegah penipuan yang semakin berleluasa.
Oleh Tarani Lanting