
KUALA LUMPUR: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives diunjur diniagakan tinggi minggu depan dalam persekitaran krisis yang berlarutan di Asia Barat, kata peniaga.
Peniaga proprietary Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata berita mengenai program biodiesel B50 Indonesia turut dijangka merangsang sentimen pasaran.
“Kami menjangka harga (MSM) diniagakan antara RM4,750 dan RM4,950 (satu tan) pada minggu depan,” katanya kepada Bernama.
Bagi asas Jumaat ke Jumaat, kontrak April 2026 meningkat RM205 kepada RM4,745 satu tan, Mei 2026 naik RM188 kepada RM4,799 satu tan dan Jun 2026 menokok RM208 kepada RM4,839 satu tan.
Sementara itu, kontrak Julai 2026 meningkat RM224 kepada RM4,844 satu tan, Ogos 2026 naik RM227 kepada RM4,824 satu tan dan September 2026 menokok RM219 kepada RM4,789 satu tan.
Jumlah dagangan mingguan melonjak kepada 518,950 lot daripada 363,166 lot minggu lepas manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 252,147 kontrak daripada 236,911 kontrak sebelumnya.
Harga MSM fizikal bagi April Selatan mengukuh sebanyak RM200 kepada RM4,760 satu tan. – Bernama