
KUALA LUMPUR: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives diunjur diniagakan dengan kecenderungan menurun sedikit minggu depan dalam keadaan peningkatan output dan paras stok, kata peniaga.
Peniaga minyak sawit David Ng berkata pasaran pada masa ini dalam tempoh pengeluaran lebih tinggi secara bermusim yang lazimnya bermula pada April dan berlarutan sehingga September atau Oktober, dan dalam tempoh ini output kebiasaannya meningkat sekali gus menyebabkan paras stok turut bertambah.
“Kami menjangkakan komoditi ini diniagakan antara RM3,720 satu tan hingga RM3,950 satu tan,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, peniaga kanan minyak sawit Interband Group of Companies Jim Teh mengunjurkan pasaran akan mengalami aktiviti pengambilan untung, dengan harga dijangka diniagakan antara RM3,700 satu tan hingga RM3,800 satu tan.
“Dari segi stok, pasaran akan memantau dengan teliti data Lembaga Minyak Sawit Malaysia yang dijadual dikeluarkan pada 10 Jun,” katanya.
Mengenai permintaan, Teh berkata pembelian fizikal dijangkakan dari China, India, Pakistan, Timur Tengah, negara-negara Kesatuan Eropah selain pembelian kecil dari Amerika Syarikat.
“Dari segi output, keadaan cuaca yang baik menunjukkan bahawa pengeluaran MSM mungkin meningkat,” katanya.
Berasaskan Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan semerta Jun 2025 meningkat RM23 kepada RM3,911 satu tan manakala kontrak Julai 2025 dan Ogos 2025 masing-masing naik RM39 kepada RM3,930 satu tan dan RM3,917 satu tan.
Kontrak September 2025 menokok RM36 kepada RM3,906 satu tan, Oktober 2025 meningkat RM29 kepada RM3,899 satu tan dan November 2025 menambah RM25 kepada RM3,899 satu tan.
Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 290,679 lot daripada 281,987 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka susut kepada 241,688 kontrak daripada 241,994 kontrak.
Harga MSM fizikal bagi Jun Selatan naik RM30 kepada RM3,960 satu tan.
-Bernama