
KUALA LUMPUR: Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka menunjukkan aliran menaik minggu hadapan, dengan potensi kenaikan dianggarkan dalam julat 2.5 hingga 3.0 peratus, menurut seorang penganalisis.
Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata tempoh 48 hingga 72 jam akan datang adalah sangat penting, dengan pergerakan harga emas bergantung kepada sama ada ketegangan di Timur Tengah semakin memuncak atau kembali reda.
Beliau berkata walaupun kebimbangan geopolitik mereda, emas berkemungkinan kekal disokong oleh jangkaan yang semakin meningkat terhadap perubahan dasar oleh Rizab Persekutuan AS, terutamanya jika data pekerjaan AS yang lemah mengukuhkan naratif penyusutan inflasi.
“Melihat kepada ketidaktentuan semasa, saya menjangkakan emas diniagakan dalam julat yang lebih luas daripada kebiasaan,” katanya kepada Bernama.
Bagi asas Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan semerta Jun 2025 meningkat kepada AS$3,430.2 setiap auns troy daripada AS$3,371.80 setiap auns troy, manakala kontrak Julai 2025 bertambah kepada AS$3,438.7 setiap auns troy daripada AS$3,371.80 setiap auns troy.
Kontrak Ogos, September dan Oktober 2025 masing-masing mengukuh kepada AS$3,458.2 setiap auns troy daripada AS$3,393.80 setiap auns troy.
Jumlah dagangan meningkat kepada 260 lot daripada 241 lot yang dicatatkan pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka menyusut kepada 50 kontrak daripada 122 kontrak.
Menurut penetapan London Bullion Market Association pada 12 Jun, harga emas fizikal berada pada AS$3,391.40 setiap auns troy.– Bernama