KUALA LUMPUR: Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka kekal lengang minggu ini berikutan kekurangan sokongan belian apabila para pelabur terus menumpukan kepada emas Amerika Syarikat (AS).
Penganalisis Kanan Pasaran Asia Pasifik OANDA, Jeffrey Halley berkata, emas AS kini berada dalam jajaran sederhana bagi minggu ini antara US$1,905 dan US$1,970 seauns dengan indeks kekuatannya neutral membayangkan logam kuning itu boleh bergerak turun dan naik dan kemungkinan dalam jajaran yang tidak menentu pada masa depan.
“Kebanyakannya akan bergantung kepada hala tuju hasil AS bagi tenor 10 tahun hingga 30 tahun. Emas dijangka dengan mudah boleh ditutup di atas paras US$2,0000 seauns.
“Asas bulis jangka panjang emas kekal kukuh. Namun apa yang jelas adalah kemajuan trend meningkat tidak selancar seperti sebelum ini,” katanya.
Pasaran emas lengang sepanjang minggu yang baru berakhir ini dengan dagangan hanya direkodkan pada Jumaat.
Bagi asas Jumaat ke Jumaat, kontrak Ogos 2020 naik 28 mata kepada RM262.40 segram, manakala September 2020, Oktober 2020 dan November 2020 semuanya turun 29 mata masing-masing kepada RM258.00, RM257.90 dan RM259.25 segram.
Jumlah dagangan mingguan berjumlah satu lot bernilai RM26,500 berbanding satu lot bernilai RM25,900 pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka naik kepada 33 kontrak daripada 32 kontrak.
Sementara itu, harga emas fizikal naik RM2.65 kepada RM253.88 segram daripada RM251.23 segram pada Jumaat minggu sebelumnya.
Bursa Malaysia dan derivatifnya akan ditutup pada Isnin sempena cuti umum Hari Kebangsaan. – Bernama