
KUALA LUMPUR: Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives mungkin meningkat minggu depan berikutan penutupan perkhidmatan kerajaan Amerika Syarikat (AS), yang boleh memperlahankan pertumbuhan dan mendorong penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed).
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata harga emas sekali lagi merekodkan paras tertinggi sepanjang minggu kepada AS$3,865.74 setiap auns troy, susulan kebimbangan penutupan perkhidmatan kerajaan AS telah menyebabkan harga emas lebih tinggi.
Beliau berkata penutupan perkhidmatan kerajaan AS mungkin akan mempercepatkan penurunan kadar faedah oleh Fed, yang boleh menyebabkan dolar AS yang lebih lemah.
“Berdasarkan itu, harga emas boleh berada pada julat antara AS$3,855 dan AS$3,865 setiap auns troy minggu depan,” kata Mohd Afzanizam kepada Bernama.
Bagi asas mingguan, kontrak Oktober 2025 mengukuh kepada AS$3,872.8 setiap auns troy daripada AS$3,765.40, dan kontrak November 2025 meningkat kepada AS$3,891.0 setiap auns troy daripada AS$3,783.6 sebelumnya.
Kontrak Februari 2026, April 2026 dan Jun 2026 semuanya ditutup lebih tinggi pada AS$3,939.8 setiap auns troy berbanding AS$3,803.5 setiap auns troy minggu lepas.
Kontrak September 2025 berada pada AS$3,750.30 setiap auns troy, dan kontrak Disember 2025 meningkat kepada AS$3,905.9 setiap auns troy daripada AS$3,803.5 minggu lepas.
Jumlah dagangan mingguan menyusut kepada 1,328 lot daripada 2,310 lot minggu lepas, manakala kepentingan terbuka berkurang kepada 259 kontrak daripada 658 kontrak sebelumnya.
Berdasarkan penetapan London Bullion Market Association pada 2 Oktober, 2025, emas fizikal berada pada AS$3,878.10 setiap auns troy.- Bernama