
KUALA LUMPUR: Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan tinggi minggu depan, berikutan minat berterusan pelabur terhadap aset selamat susulan keputusan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) menurunkan kadar faedah bagi kali ketiga tahun ini.
Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS mengambil langkah agresif apabila mengurangkan kadar faedah kepada 3.5–3.75 peratus, iaitu penurunan ketiga tahun ini daripada 4.25–4.50 peratus pada Disember tahun lepas, satu keputusan yang turut menekan dolar AS.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata harga emas dijangka kekal sekitar AS$4,300 setiap auns troy minggu depan.
Beliau berkata beberapa data utama AS yang akan diterbitkan minggu depan juga akan menjadi petunjuk penting kepada peserta pasaran.
Ini termasuk Senarai Gaji Bukan Ladang (NFP), Indeks Harga Pengguna (CPI), Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE), serta Indeks Sentimen Pengguna Universiti Michigan (CSI).
Bagi asas mingguan, kontrak bulan semasa Disember 2025 meningkat kepada AS$4,324.50 setiap auns troy daripada AS$4,206.10 setiap auns troy.
Kontrak Januari 2026 pula mengukuh kepada AS$4,341.40 setiap auns troy daripada AS$4,221.80 setiap auns troy, manakala Februari 2026 susut kepada AS$4,357.20 setiap auns troy daripada AS$4,269.90 setiap auns troy minggu sebelumnya.
Sementara itu, kontrak April 2026 dan Jun 2026 masing-masing ditutup lebih tinggi pada AS$4,394.20 setiap auns troy berbanding AS$4,303.80 setiap auns troy sebelum ini.
Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 192 lot daripada 299 lot minggu lepas, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 238 kontrak daripada 148 kontrak minggu sebelumnya.
Harga emas fizikal pula berada pada AS$4,230.35 setiap auns troy, menurut penetapan petang Persatuan Pasaran Bullion London pada 11 Disember, 2025.- Bernama