
KUALA LUMPUR: Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dalam julat yang terhad minggu depan, menjejaki emas di Bursa Komoditi New York (COMEX) Amerika Syarikat (AS) di tengah-tengah potensi pemuktamadan perjanjian perdagangan AS dengan negara Kesatuan Eropah (EU) dan Asia Pasifik, kata seorang penganalisis.
Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata EU dan AS sedang menuju ke arah perjanjian perdagangan yang boleh merangkumi tarif asas AS sebanyak 15 peratus ke atas barangan EU dan kemungkinan pengecualian.
Bagaimana, beliau berkata emas boleh mendapat sokongan jika dolar AS melemah, terutamanya di tengah-tengah spekulasi mengenai pendirian Pengerusi Rizab Persekutuan Jerome Powell mengenai kadar faedah.
“Tinjauan saya bagi minggu hadapan menyaksikan emas akan mendapat bidaan menghampiri AS$3,335, dengan rintangan sebelah atas sekitar AS$3,395 (setiap auns troy). Julat yang lebih luas akan ditentukan oleh berapa banyak daya tarikan yang diperoleh daripada naratif ‘penurunan sederhana ditambah perjanjian perdamaian’ berbanding ketidaktentuan makroekonomi dan jangkaan kadar,” katanya kepada Bernama.
Bagi asas mingguan, kontrak semerta bulan Julai 2025 susut kepada AS$3,350.0 setiap auns troy pada Jumaat daripada AS$3,360.0 minggu sebelumnya, kontrak Ogos 2025 berkurang kepada AS$3,367.4 setiap auns troy daripada AS$3,378.3 sebelumnya, kontrak September 2025 menurun kepada AS$3,373.3 setiap auns troy daripada AS$3,384.20.
Sementara itu, kontrak Oktober 2025, Disember 2025 dan Februari 2026 juga susut kepada AS$3,402.6 setiap auns troy daripada AS$3,413.40 sebelumnya.
Jumlah dagangan mingguan meningkat 34 lot daripada 12 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka menaik kepada 71 kontrak daripada 67 kontrak.
Harga emas fizikal berada pada AS$3,365.85 setiap auns troy mengikut penetapan London Bullion Market Association pada 24 Julai 2025.– Bernama