
JAKARTA: Pelakon terkenal, Nia Ramadhani tampil menafikan dakwaan kononnya rumah tangganya bersama suami, Anindra Ardiansyah Bakrie, sedang berada di ambang perceraian.
Nia atau nama sebenarnya Prianti Nur Ramadhani Priya Ramadhani, 36, menegaskan khabar angin yang tular itu tidak benar dan disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, penyebaran fitnah tersebut bukan sahaja mengelirukan orang ramai, malah mula memberi kesan kepada keluarganya, khususnya anak-anak.
“Berhubung khabar angin perceraian yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab, kami ingin menjelaskan bahawa ia adalah tidak benar. Kami menyeru semua pihak agar berhenti menyebarkan fitnah,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram.
Isu berkenaan tercetus selepas seorang wanita tampil membuat pendedahan mendakwa dirinya merupakan kekasih gelap kepada suami Nia, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai keretakan rumah tangga pasangan itu.
Bagaimanapun, wanita terbabit kemudiannya tampil membuat permohonan maaf selepas didakwa menjadi perosak rumah tangga Nia dan Anindra.
Untuk rekod, Nia mendirikan rumah tangga bersama Anindra pada 2010. Pasangan ini dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Mikhayla, 14, Mainaka, 11, dan Magika, 9. – AGENSI