LIMBANG: Isu kekurangan bekalan darah di Hospital Limbang mendorong pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memperhebatkan kempen derma darah bagi memastikan operasi hospital tidak terjejas.
Sehubungan itu, Syarikat S Ahmad & Son Limbang menjalin kerjasama dengan Jawatankuasa Pengurusan Masjid Baitul Iman Daerah Limbang bagi menganjurkan Program Derma Darah untuk membantu Unit Tabung Darah Hospital Limbang menambah bekalan darah yang semakin berkurangan.
Wakil syarikat, Joseph Wong Ku Hai, berkata kerjasama orang ramai amat diperlukan kerana setiap sumbangan darah mampu membantu menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan.
“Kami merayu kepada orang ramai yang sihat dan layak menderma darah agar tampil menyertai program ini. Setiap sumbangan amat bermakna dalam usaha menyelamatkan nyawa,” katanya kepada media ketika ditemui pada program berkenaan.
Turut hadir Ahli Jawatankuasa Pengurusan Masjid Baitul Iman Daerah Limbang, Mahmud Amit, serta wakil pengurusan Syarikat S Ahmad & Son Limbang, Ibi Hussin.
Program yang berlangsung di Masjid Baitul Iman Daerah Limbang itu diadakan dari 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.
Joseph berkata, pihak penganjur menyasarkan penyertaan sekurang-kurangnya 30 penderma bagi membantu meningkatkan simpanan bekalan darah Hospital Limbang.
Oleh Adeng Edrus
