Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • NGO gesa penguatkuasaan tegas akta 852 kawal penggunaan vape
  • NASIONAL

NGO gesa penguatkuasaan tegas akta 852 kawal penggunaan vape

Utusan Sarawak 6 hours ago
NGO gesa penguatkuasaan tegas Akta 852 diperkasa bagi membendung penggunaan vape yang semakin meningkat dalam kalangan remaja dan golongan muda di Malaysia.

KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) perlu dikuatkuasakan secara tegas, menyeluruh dan berkesan memandangkan peningkatan penggunaan vape dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya golongan muda semakin membimbangkan.

Pertubuhan Green Lung Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan mereka menghormati keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) yang dilaporkan akan meneruskan proses rayuan berhubung pengecualian cecair dan gel nikotin daripada Senarai Racun, namun menegaskan penguatkuasaan Akta 852 perlu terus menjadi keutamaan.

“Kami menghormati hak mana-mana pihak untuk menggunakan saluran perundangan yang diperuntukkan oleh undang-undang, termasuk proses rayuan yang sedang berjalan.  

“Namun demikian, daripada perspektif kesihatan paru-paru dan kesihatan awam, perkara yang lebih mustahak pada masa ini ialah memastikan Akta 852 terus dikuatkuasakan secara tegas, menyeluruh dan berkesan,” menurut kenyataan itu.

Menurut pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu, berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), prevalens penggunaan rokok elektronik dan vape dalam kalangan individu berumur 15 tahun ke atas meningkat daripada hanya 0.8 peratus pada 2011 kepada 5.8 peratus pada 2023, melonjak lebih tujuh kali ganda dalam tempoh sedekad.

Kenyataan itu memaklumkan apa yang lebih membimbangkan, penggunaan vape semakin diterima sebagai satu norma sosial dalam kalangan remaja dan dewasa muda tanpa menyedari risiko ketagihan nikotin serta kesan jangka panjang terhadap kesihatan paru-paru dan sistem pernafasan.

Justeru, pertubuhan itu mencadangkan penguatkuasaan Akta 852 diperkukuh termasuk larangan tegas penjualan vape dan peranti vape kepada orang belum dewasa tanpa sebarang kompromi.

NGO itu juga menggesa tindakan lebih agresif terhadap aktiviti pengiklanan, promosi dan penajaan produk berkenaan menerusi media sosial, platform e-dagang serta pempengaruh yang menyasarkan golongan muda, selain pemantauan berterusan serta tindakan segera terhadap jualan dalam talian menerusi platform seperti Facebook, Instagram, TikTok, WhatsApp dan Telegram.

Turut senada, Pengerusi Biro Keluarga dan Pembangunan Masyarakat Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Datuk Jamelah A Bakar berpandangan Akta 852 telah menyediakan asas perundangan yang kukuh untuk mengawal produk merokok termasuk vape.

Justeru, beliau berkata, keutamaan pada masa ini adalah untuk memastikan penguatkuasaannya diperkasakan secara konsisten dan berterusan melalui kerjasama erat antara KKM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), institusi pendidikan, ibu bapa dan masyarakat.

“Tindakan yang lebih tegas perlu diberikan terhadap penjualan vape secara dalam talian, termasuk melalui media sosial, platform e-dagang, WhatsApp dan Telegram yang semakin sukar dikawal serta mudah diakses oleh golongan muda,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pemantauan terhadap kandungan produk vape yang berada di pasaran juga perlu dipertingkatkan bagi memastikan tiada bahan terlarang, bahan psikoaktif atau dadah sintetik disalahgunakan melalui produk tersebut.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh tiga NGO bagi mencabar keputusan kerajaan pada 2023 untuk mengecualikan cecair dan gel vape daripada Senarai Racun.

NGO berkenaan ialah Majlis Kawalan Tembakau Malaysia, Pertubuhan Green Lung Malaysia dan Voice of the Children.

Hakim Datuk Aliza Sulaiman berkata mahkamah berpuas hati bahawa pemohon berjaya membuktikan keputusan kerajaan untuk memberikan pengecualian itu, yang didorong terutamanya oleh faktor ekonomi sebelum Akta 852 berkuat kuasa pada 1 Okt 2024, adalah tidak rasional.- Bernama

Continue Reading

Previous: AirAsia beri amaran laman sesawang pengambilan kerja palsu
Next: Gempa bumi sederhana di Mindanao, tiada ancaman tsunami kepada Malaysia – MetMalaysia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.