
DARO: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) digesa untuk terus memainkan peranan aktif di peringkat akar umbi bagi memastikan usaha mereka memberi impak positif terhadap kesejahteraan dan keharmonian komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad, berkata kerajaan Sarawak sentiasa komited dalam memperkukuh peranan NGO sebagai rakan strategik dalam pembangunan masyarakat melalui pemberian geran.
“Saya berharap agar setiap pertubuhan dapat mengamalkan semangat kerjasama, saling menghormati dan menggunakan bantuan ini dengan penuh tanggungjawab demi manfaat bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Penyampaian Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada 27 NGO di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Daro berjumlah keseluruhan RM205,000 semalam.
Safiee turut menasihatkan agar peruntukan yang diterima tidak dijadikan punca perpecahan atau perselisihan faham dalam kalangan ahli NGO berkenaan.
“Saya berharap agar setiap pertubuhan dapat mengamalkan semangat kerjasama, saling menghormati dan menggunakan bantuan ini dengan penuh tanggungjawab demi manfaat bersama,” katanya.
Beliau berkata, pemberian geran ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkukuh peranan masyarakat sivil serta memastikan kesejahteraan rakyat terus dipertingkatkan melalui sokongan terhadap inisiatif yang digerakkan oleh pertubuhan di peringkat akar umbi.
Turut hadir Pegawai Daerah Daro, Zul Usup, Pegawai Daerah Matu, Hamidah Halpi, dan Pegawai Penerangan Daerah Daro, Khalid Aini.
Oleh Akun Giman