
BINTANGOR: Tradisi Ngiling Tikai bukan sahaja menjadi simbol penutupan sambutan Hari Gawai Dayak, malah terus berperanan sebagai medium memperkukuh perpaduan, mengeratkan silaturahim dan memelihara warisan budaya masyarakat Iban.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, tradisi yang diwarisi sejak turun-temurun itu wajar terus dipelihara kerana membawa nilai kesyukuran, semangat kekitaan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat.
“Ngiling Tikai merupakan tradisi masyarakat Iban yang melambangkan penutupan rasmi sambutan Hari Gawai Dayak, sebagai tanda kesyukuran atas rezeki yang diterima serta berakhirnya musim perayaan.
“Program Ngiling Tikai merupakan aktiviti tahunan Gereja Methodist Iban Pasar Bintangor yang menjadi wadah menghimpunkan jemaat dan mengukuhkan hubungan persaudaraan dalam kalangan komuniti, khususnya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri program Ngiling Tikai anjuran Gereja Methodist Iban Pasar Bintangor bersama Datin Kueh Nai Fun di Rumah Ingol Sawing, Sungai Mador, baru-baru ini.
Katanya, ia bukan sahaja memelihara adat dan budaya masyarakat Iban, malah menjadi platform memperkukuhkan hubungan silaturahim dan semangat perpaduan dalam kalangan jemaat gereja.
“Pada tahun lalu, program ini diadakan di Rumah Baling, Bukit Sanggau, manakala tahun ini berlangsung di Rumah Ingol Sawing, Sungai Mador.
“Sebagai makluman, Gereja Methodist Iban Pasar Bintangor kini mempunyai kira-kira 500 jemaat berdaftar yang meliputi kawasan Mador, Sungai Tulai, Sungai Mador, Skim B, Sungai Bakong, Nanga Lasi dan Bukit Sanggau.
“Pertambahan jumlah jemaat itu mencerminkan perkembangan positif komuniti gereja serta menunjukkan komitmen berterusan dalam memperkukuhkan kehidupan beragama dan hubungan kemasyarakatan,” katanya.
Beliau turut mengimbau pembinaan bangunan Gereja Methodist Iban Pasar Bintangor di Kilometer 1, Jalan Kelupu yang dirasmikan pada 1 Julai 2023 hasil sumbangan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Meradong yang kini menyediakan kemudahan lebih selesa kepada para jemaat.
Oleh Earl Anek