GURU Besar, Andi Bakih memotong reben sebagai tanda perasmian Majlis Nutup Gawai @ ‘Ngiling Tikai’ di SK
St Michael Entingan Samarahan.
KEHANGATAN suasana perayaaan Gawai Dayak mewarnai Majlis Nutup Gawai @ ‘Ngiling Tikai’ di Sekolah Kebangsaan (SK) St Michael Entingan Samarahan.
Mana tidaknya, dua tahun murid di sekolah ini tidak menyambut Gawai Dayak ekoran pandemik Covid-19.
Keterujaan dan kegembiraan jelas terpampang di wajah 258 murid apabila dapat meraikan perayaan Gawai Dayak bersama guru dan ibu bapa mereka pada 30 Jun lalu.
Menurut Guru Besarnya, Andi Bakih, sambutan tahun ini lebih meriah dan penyertaan murid dan ibu bapa di luar jangkaan.
“Tahun ini, murid dan guru lebih ghairah. Sambutan sangat meriah walaupun menghadkan penglibatan ibu bapa dan komuniti luar. Untuk tahun hadapan, kita bercadang akan melibatkan lebih ramai pihak luar seperti Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) dan sekolah yang berhampiran untuk mewujudkan jalinan dan jaringan yang lebih mesra dan padu,” katanya.
Antara objektif program ialah murid mendapat pendedahan mengenai asal-usul Gawai Dayak dan bagaimana upacara dijalankan di rumah panjang dan bandar.
Selain itu, menjelaskan kepada murid bahawa ‘Adat Ngiling Tikai’ merupakan upacara simbolik penutupan perayaan Gawai Dayak dengan cara terhormat, menghargai keunikan kebudayaan dan memartabatkan pakaian tradisional Ngepan Iban, Bidayuh dan Orang Ulu di samping memainkan alat muzik tradisional yang diwarisi turun temurun semenjak zaman nenek moyang terdahulu.
Dalam pada itu, antara pengisian program ialah, jampi mentera Gawai Dayak oleh Guru Besar (Andi Bakih).
Majlis dimulakan dengan jampi Gawai untuk memohon keberkatan kepada Tuhan ‘Petara’, gayu guru, gerai nyamai, senang lantang nguam menua iaitu bermaksud ‘panjang umur, sihat walafiat serta senang lenang mendiami dunia.’
Turut diadakan ialah persembahan kebudayaan murid, Pekit Keling, Pekit Kumang, busana etnik tercantik, cabutan bertuah dan Ngetas Ranyai.
Majlis berakhir apabila ranyai atau pokok istiadat diturunkan dan seterusnya majlis Ngiling Tikai dilakukan yang memberi signifikan perayaan sudah pun tamat.
Gawai Dayak merupakan perayaan yang disambut di Sarawak oleh kaum peribumi Sarawak, terutamanya Iban, Bidayuh dan Orang Ulu seperti Kayan dan Kenyah, dan juga komuniti Dayak di Kalimantan.
Kalau dahulu, kebanyakan mereka tinggal di rumah panjang dan sesetengahnya tinggal berkelompok di kampung, kini masyarakat Dayak sudah tinggal menetap di bandar untuk mencari pekerjaan dan sara hidup yang lain.
Gawai Dayak mula disambut secara besar-besaran sejak 25 September 1964 apabila Hari Gawai diisytiharkan sebagai hari perayaan rasmi di Sarawak. Sambutan Gawai Dayak pada peringkat negeri yang pertama adalah pada 1 Jun 1965. Sebelum itu, hari cuti umum ini dipanggil Hari Sarawak oleh pemerintahan Rajah Brooke.
Sebenarnya, Gawai Dayak adalah musim perayaan yang berlangsung selama sebulan yang bermula dari hujung bulan Mei sehingga akhir bulan Jun setiap tahun.
Mereka mempunyai beberapa upacara besar yang dijalankan di rumah panjang dan bandar.
Hari pertama perayaan jatuh pada 31 Mei dan hari kedua pada 1 Jun setiap tahun dan akan tamat secara rasmi dengan upacara penutupan pada akhir bulan Jun yang dipanggil menggulung atau ngiling tikar.
Penanaman padi adalah aktiviti utama kehidupan orang Dayak sejak dahulu kala lagi kerana beras adalah makanan utama mereka.
Selepas tamatnya musim menuai padi, kaum Dayak akan memiliki banyak beras. Jadi, sesuailah masanya untuk mereka meraikan pesta tertentu yang diperlukan.
Persediaan menyambut Gawai Dayak bermula apabila tibanya bulan Mei dengan proses penapaian ‘tuak’ iaitu sejenis minuman tradisi komuniti Dayak.
Penapaian tuak mengambil masa kira-kira sebulan. Tuak dihasilkan daripada penapaian nasi pulut yang telah dimasak dan dicampur ragi sebelum disimpan dalam tempayan.
Apabila sudah ada sedikit air tuak tulen pada nasi pulut yang ditapai itu, air yang telah dimasak dan dicampur gula akan ditambahkan secukupnya mengikut banyaknya nasi pulut tersebut.
Pada akhir Mei, air tuak itu boleh ditapis dan diminum. Meminum tuak melambangkan kekuatan tenaga dan keberanian hati tanpa berbelah-bahagi.
Setelah siap membuat tuak iaitu selepas pertengahan bulan Mei, kaum wanita akan membuat kuih-muih tradisi orang Dayak yang dipanggil ‘sarang semut’, ‘acuan’ dan ‘kuih sepit’. Kuih-muih ini diperbuat daripada tepung beras yang dicampur air, telur and gula lalu digoreng sehingga keras dan kering dalam minyak masak.
Sebelum berakhirnya Mei, gotong-royong untuk pembersihan dan perhiasan rumah panjang atau kampung boleh diadakan seperti mengecat atau membaiki bahagian rumah yang rosak. Rumah panjang dibina mengikuti peraturan tertentu supaya ia digunakan sebagai tempat kediaman dan juga tempat beribadat.
Selepas itu, acara pembersihan kubur selalunya diadakan setiap tahun sebagai tanda penghormatan bagi orang yang telah meninggal seperti nenek-moyang, ahli-ahli keluarga, sahabat handai dan masyarakat setempat.
Rumah panjang atau kampung seterusnya akan bermesyuarat untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi mengatur acara sambutan gawai pada 31 Mei dan 1 Jun.
Acara tradisi termasuklah meminum air panjang umur, perarakan, pertandingan ratu cantik seperti pekit Kumang dan Keling bagi kaum Iban, pendirian pokok ‘ranyai’, bermain muzik tradisi, menari tarian asal seperti ngajat dan datun jalut, persembahan seni mempertahankan diri dan nyanyian puisi rakyat.
Pada zaman moden sekarang, acara sukaneka pada siang harinya, permainan sukaria, karaoke dan bejoget boleh diselitkan untuk memeriahkan suasana Gawai.
Peraturan khas untuk dipatuhi oleh orang ramai juga akan ditentukan untuk menjaga suasana Gawai yang meriah tanpa pergaduhan dan gangguan yang lain. Bagi kaum Iban, peraturan ini dipanggil ‘begeliga’.
Apabila tibanya pagi 31 Mei, orang ramai akan turun mencari makanan di hutan atau kebun terutamanya umbut yang sedap dimasak sup dengan daging haiwan. Ikan, haiwan liar dan sayuran hutan juga dicari sebagai lauk-pauk sebelum Gawai.
Selepas itu, orang ramai akan menyembelih haiwan ternakan sebagai lauk utama Gawai. Sekarang ini, daging dan sayuran boleh dibeli di pasar terutamanya bagi mereka yang bekerja dan tinggal di bandar.
Nasi pulut ‘pansoh’ (lemang) akan dimasak dalam ruas buluh supaya ada aroma istimewa daripada buluh tersebut yang tidak diperoleh jika dimasak dalam periuk.
Pelantar istimewa dan tilam kapas empuk akan dibuat terutamanya di ruai Ketua Rumah atau Gawai sebagai tempat istirahat para tetamu khas yang dijemput hadir semasa upacara duduk berbaris mengikut kedudukan sosial masing-masing nanti.
Inilah keunikan Gawai Dayak yang disambut saban tahun di Sarawak.
Oleh NUR AIN OTSMAN