
-Foto ADUN Simanggang
SIMANGGANG: Majlis ‘Ngiling Tikai’ telah diadakan sebagai simbol penutup sambutan Gawai Dayak, menandakan masyarakat Dayak kembali kepada rutin harian dan usaha mencari rezeki demi menyara keluarga.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis turut memuji golongan remaja yang masih komited mengekalkan tradisi dan budaya melalui persembahan tarian ‘Ngajat Ngalu Pengabang’ oleh penari wanita Iban di atas gong serta tarian tradisional komuniti Bidayuh.
Beliau turut menyatakan bahawa Rumah Panjang Kampung Terusan sentiasa dekat di hatinya meskipun kini berada di luar kawasan konstituensi beliau, namun masih dalam gabungan yang sama, iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Saya pernah kerap datang ke sini suatu ketika dahulu dan terlibat secara langsung dalam rundingan dengan pemilik tanah bagi mendirikan rumah panjang ini. Kini, rumah panjang ini telah berdiri selama lebih 20 tahun.
“Majlis Gawai Ngiling Tikai ini merupakan manifestasi kerjasama antara penduduk dan penganjur, termasuk Pergerakan Wanita Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Lingga, dan menjadi platform penting untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Gawai Ngiling Tikai anjuran Wanita SUPP Cawangan Lingga dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Terusan yang diadakan di Rumah Ajan Kerani, Kampung Terusan, semalam.
Sementara itu, Tuai Rumah Ajan Kerani merakamkan penghargaan kepada Harden atas sokongan berterusan, sambil mengimbau kembali usaha wakil rakyat itu dalam membantu pendirian rumah panjang tersebut.
Pengerusi Wanita SUPP Cawangan Lingga, Lansing Bansi turut menggesa golongan remaja yang belum menjadi ahli parti agar mendaftarkan diri sebagai ahli SUPP untuk memberi khidmat kepada masyarakat melalui saluran politik yang aktif dan inklusif.
Pada majlis tersebut, Harden turut mengumumkan kelulusan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM5,000 kepada JKKK Kampung Terusan bagi membiayai pelaksanaan aktiviti pertubuhan.
Oleh Adi Safarman