
BINTULU: Setiap kali penghujung Jun menjelang, masyarakat Iban di seluruh Sarawak mula mengadakan upacara ngiling bidai, iaitu adat yang menandakan berakhirnya sambutan perayaan Gawai Dayak.
Walaupun Gawai Dayak disambut pada 1 Jun setiap tahun, kemeriahannya berlanjutan sepanjang bulan sebelum ditutup secara rasmi menerusi tradisi yang diwarisi turun-temurun.
Dalam bahasa Iban, ngiling bidai bermaksud menggulung tikar. Adat ini melambangkan berakhirnya musim menerima tetamu dan kunjung-mengunjung sempena Gawai Dayak, sekali gus menandakan tibanya masa untuk kembali kepada rutin harian seperti bekerja, berkebun dan menjalankan aktiviti seharian.
Namun, ngiling bidai bukan sekadar adat penutup perayaan. Tradisi ini turut menjadi kesempatan terakhir bagi ahli keluarga yang tinggal berjauhan berkumpul di rumah panjang, mengeratkan hubungan kekeluargaan serta bertemu rakan-rakan yang pulang ke kampung halaman sempena Gawai Dayak.
Di kebanyakan rumah panjang, majlis ini diraikan secara sederhana namun tetap meriah. Tetamu disajikan pelbagai juadah tradisional, manakala persembahan tarian ngajat, alunan muzik tradisional serta acara kebudayaan diadakan mengikut kesesuaian setempat. Suasana inilah yang menjadikan ngiling bidai sentiasa dinanti-nantikan.

Selain itu, tradisi ini mengingatkan masyarakat akan pentingnya memelihara adat dan budaya yang diwarisi daripada generasi terdahulu. Dalam arus pembangunan dan perubahan zaman, ngiling bidai terus menjadi lambang identiti masyarakat Iban yang kaya dengan nilai hormat, semangat kekeluargaan dan perpaduan.
Selagi adat ini terus diamalkan, ngiling bidai bukan sahaja menandakan berakhirnya sambutan perayaan Gawai Dayak, malah menjadi bukti bahawa warisan budaya masyarakat Iban terus kekal hidup, dipelihara dan dihargai oleh generasi masa kini.
Oleh Carolyne Utih