
MARUDI: Seramai 250 orang masyarakat Dayak dan kaum-kaum lain meraikan Majlis Ngiling Bidai Pembangunan Poyut Lubok Nibong (PPLN) 2025 bertemakan “Segulai Sejalai Nuju Pemansang” anjuran Jawatankuasa PPLN diadakan di Chan Restoran Kampung Cina malam tadi.
Malis perasmian acara disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala.
Katanya, tema majlis “Segulai Sejalai Nuju Pemansang” sangat tepat di mana tema ini mengambarkan masyarakat Dayak di kawasan Poyut Lubok Nibong tidak tertinggal arus pembanguan.

Selain itu, beliau berkata masyarakat Dayak di kawasan ini juga perlu mengikuti perancangan dan polisi Kerajaan serta menggesa masyarakat Dayak terus berusaha dan bertekad untuk maju supaya tidak ketinggalan berbanding kaum-kaum lain.
“Kita mahu Sarawak maju dan berpendapatan tinggi seiring dengan perkembangan semasa,” katanya ketika menyampaikan ucapan di majlis tersebut.
Tambahnya, majlis sebegini juga dapat mengeratkan lagi ikatan kemesraan antara satu dengan lain dan memberi kerjasama kepada pemimpin di rumah panjang masing-masing.
“Dengan adanya kerjasama dan sokongan padu semua pihak maka kawasan rumah panjang kita cepat membangun dan maju seperti di kawasan-kawasan lain,” katanya.
Pada majlis tersebut, beliau turut menyempurnakan penyampaian insentif daripada Jawatankuasa PPLN kepada 11 orang pelajar yang telah mencapai keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang lalu.
Oleh Jiku Jukuong