
SIBU: Tradisi Ngiling Bidai bukan sekadar menandakan berakhirnya sambutan Hari Gawai, malah menjadi lambang perpaduan, kesyukuran dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat rumah panjang.
Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau berkata, tradisi Ngiling Bidai mencerminkan semangat sebuah komuniti yang bersatu sebagai satu keluarga dalam mensyukuri segala nikmat yang dikecapi sepanjang tahun lalu.
“Melalui perpaduan, sokongan antara satu sama lain dan kerjasama yang erat, komuniti akan terus maju serta mampu mengharungi pelbagai cabaran bersama,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Ngiling Bidai yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah (Rh) Sagai Dampi, Bukit Besai, di sini kelmarin.
Lau turut dimaklumkan bahawa masalah saliran di kawasan berkenaan kini semakin terkawal susulan pelaksanaan projek Program Transformasi Luar Bandar ( RTP) melibatkan pembinaan parit tanah yang disambungkan ke parit utama di sepanjang jalan.
Katanya, projek tersebut telah membantu mengurangkan kejadian banjir kilat yang sebelum ini menjejaskan rumah-rumah di rumah panjang berkenaan.
Beliau berkata, kejayaan pelaksanaan projek seperti itu membuktikan pentingnya kerjasama erat antara pemimpin, Tuai Rumah dan komuniti setempat dalam mengenal pasti masalah serta mencari penyelesaian yang praktikal demi kesejahteraan penduduk.
Lau turut merakamkan penghargaan kepada Tuai Rumah Sagai Dampi, JKKK serta seluruh penduduk rumah panjang tersebut atas sambutan mesra dan layanan yang diberikan sepanjang kunjungannya.
Beliau turut mendoakan agar tahun yang mendatang membawa lebih banyak kemakmuran, kesihatan yang baik, kebahagiaan dan keberkatan kepada seluruh penduduk Rh. Sagai Dampi.
Oleh Akun Giman