
MARUDI: Ngiling Bidai ialah warisan budaya penting yang menjadi lambang kesyukuran hasil tuaian, selain simbol perpaduan, semangat dan penghargaan terhadap adat serta budaya warisan turun-temurun.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala berkata, majlis tersebut membuktikan bahawa semangat kekitaan dan perpaduan dalam komuniti ini masih utuh dan menjadi kekuatan utama dalam membangunkan kawasan mereka.
Beliau menegaskan bahawa pembangunan sesebuah kawasan bukan hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata.
Tambah beliau, kejayaan sesuatu dasar atau projek pembangunan banyak bergantung kepada kerjasama erat antara kerajaan dengan kepimpinan masyarakat.
Menurut Gerawat, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) merupakan barisan hadapan kerajaan di peringkat akar umbi yang mana KMKK harus memahami denyut nadi rakyat, mengetahui keperluan sebenar masyarakat dan menjadi jambatan penghubung antara rakyat dengan kerajaan.
“Terima kasih kerana sentiasa membantu menyampaikan maklumat kerajaan, menjaga keharmonian masyarakat, menyelesaikan pelbagai isu tempatan serta memastikan keamanan dan perpaduan terus terpelihara,” tegas beliau.

Gerawat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ) Mulu berkata demikian pada majlis Giling Bidai Gawai Dayak, anjuran Pembangunan Poyut Lubok Nibong (PPLN) di Chan Restoran di sini semalam.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dominic Nyurang Ajang.
Beliau berharap semangat kerjasama erat akan terus dipertingkatkan supaya segala agenda pembangunan kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Menyentuh pelaksanaan jalan Miri-Marudi-Mulu-Long Panai-Long Lama, Gerawat menekankan bahawa projek ini akan mengubah landskap pembangunan di pedalaman Sarawak untuk beberapa tahun akan datang.
Katanya, jajaran jalan Marudi-Kuala Melinau (Mulu) yang dirancang bermula dari Rh Stephen Kalong telah pun bermula.
“Bertahun-tahun masyarakat di kawasan pedalaman bergantung kepada pengangkutan sungai dan jalan balak untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain,” kata Gerawat.
Tegas beliau keadaan ini tidak boleh berterusan sebab itulah kerajaan Sarawak mengambil langkah berani melaksanakan projek tersebut agar perjalanan dari Miri ke Marudi akan menjadi lebih cepat dan selesa.
“Apabila jaringan jalan raya bertambah baik, ekonomi tempatan juga akan berkembang, peniaga kecil akan mempunyai pasaran yang lebih luas,” tambah beliau.
Malah menurut Gerawat lagi petani boleh menghantar hasil pertanian lebih cepat sementara penternak dapat mengurangkan kos logistik dan usahawan muda pula mempunyai peluang membuka perniagaan baharu.
Sehubungan itu beliau menegaskan dengan jaringan jalan yang lebih baik, lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa akan memilih untuk melawat kawasan Baram, Marudi dan Mulu melalui jalan darat.
“Sebagai Timbalan Menteri yang bertnggungjawab terhadap pemantauan projek, saya sendiri akan terus memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut jadual, spesifikasi dan kualiti yang telah ditetapkan supaya rakyat dapat menikmati manfaatnya secepat mungkin.
Pada majlis tersebut Gerawat mengumumkan geran peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM10,000 kepada jawatankuasa PPLN untuk membantu meringankan pembelanjaan majlis.
Oleh Jiku Juguong