
SARATOK: Suasana di Rumah Punggah di sini sudah mula meriah sejak beberapa hari lepas bukan hanya disebabkan kepulangan anak rantau untuk meraikan Gawai Dayak yang disambut hari ini, tetapi juga adanya satu upacara tradisional yang telah dijalankan penduduk dari hampir 60 tahun lepas hingga kini.
Awal pagi lagi penduduk rumah panjang 48 pintu di Temudok Krian itu, telah berkumpul bagi membuat persiapan akhir ‘Ngasi Makan Tiang Pengingat’ satu upacara tradisional untuk dilaksanakan pada sebelah petangnya.
Ketua rumah panjang Tuai Rumah Punggah Gama, 70, berkata upacara ini bukan sekadar menunaikan keperluan adat tradisi mereka tetapi juga satu bentuk penghormatan kepada roh leluhur dan tanda penyatuan komuniti.
Punggah berkata sudah menjadi amalan mereka mengadakan upacara itu setiap tahun di sekeliling Tiang Pengingat, sebuah tiang kayu belian empat segi setinggi kira-kira 3.5 meter yang didirikan di halaman rumah panjang itu pada 1 Jun 1966 iaitu tarikh kali pertama penduduk menyambut perayaan Gawai Dayak di situ.
“Tiang Pengingat ini bukan sekadar sebatang tiang kayu yang berdiri, ia membawa roh kenangan, pengajaran, dan kekuatan yang membentuk masyarakat kami. Bila kami ‘ngasi makan’ itu tandanya kami masih ingat dan hormat kepada asal usul kami,” katanya kepada Bernama.
Upacara dimulakan dengan miring, satu acara membaca doa tradisional masyarakat Iban sebelum seekor ayam jantan dikorbankan dan darahnya disapukan pada Tiang Pengingat yang diukir dengan ayat penyataan kali pertama sambutan Gawai di situ dan dikalungkan dengan pelbagai hiasan tradisional.
Punggah berkata makanan seperti nasi pulut dan lauk yang dibungkus dalam daun pisang bersama tuak (arak beras tradisional) yang telah disiapkan oleh penduduk rumah panjang sejak pagi turut dipersembahkan di kaki tiang.
Ketua rumah panjang itu berkata pantun tradisional Iban dibacakan dalam upacara itu dengan diiringi paluan gong oleh penduduk dan kebiasaannya berakhir menjelang terbenamnya matahari.
Meskipun sudah hampir enam dekad mendiami rumah panjang tersebut, Punggah berkata penduduk di situ tetap teruja untuk melibatkan diri dalam upacara itu setiap kali ia diadakan, khususnya generasi muda sekali gus memastikan adat resam mereka tidak luput ditelan zaman.
“Kita mahu anak muda tahu asal usul mereka. Bila dari kecil mereka terlibat dalam upacara seperti ini, mereka akan merasa bangga menjadi anak Iban,” tambahnya. – Bernama